Rasulullah s.a.w sentiasa memberi peluang dan ruang untuk para sahabat berfikir dan berbincang mengenai masa depan mereka terutama mengenai nasib seseorang pada hari akhirat nanti. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menarik perhatian para sahabat terhadap perkara yang amat penting dalam kehidupan seseorang, iaitu bilamana dia jatuh menjadi ‘bankrap atau muflis’ dan apabila dikemukakan mengenai masalah itu, mereka melihat gambaran pada zahirnya sahaja, iaitu mengenai kemuflisan jangka pendek dan setakat kehidupan di dunia ini.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Adakah kamu tahu siapa orang muflis? Jawab sahabat, orang muflis ialah mereka yang tidak ada wang dan harta. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi: “Sesungguhnya orang muflis daripada umatku ialah mereka yang datang di hari kiamat dengan sembahyang, puasa dan zakat, sedangkan dia memaki, menuduh, memakan harta, menumpahkan darah dan memukul orang. Maka dibahagi-bahagi kebaikannya tadi kepada orang-orang itu. Kalau kebaikannya habis sebelum terbayar segala kesalahannya, maka kesalahan mereka pula dilemparkan kepadanya, kemudian dihumbankannya ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim dan Tarmizi)
Mereka menganggap orang yang muflis hanyalah mereka yang tidak ada wang dan harta benda sahaja sedangkan Rasulullah s.a.w melihatnya dari sudut yang lebih luas dan jauh serta lebih berwawasan – lebih terjamin keselamatan umat manusia. Kerana maksud sebenar daripada persoalan itu ialah untuk menarik perhatian mereka kepada satu keadaan di mana manusia pada suatu masa nanti benar-benar memerlukan bantuan dan pertolongan bilamana seseorang itu mengalami keadaan kecemasan di akhirat nanti. Amal ibadat kurang, kebaikan yang dilakukan juga habis diambil dan diberikan kepada orang lain yang pernah dizaliminya semasa hidup di dunia dahulu.
Inilah kemuflisan yang amat ditakuti. Mungkin di dunia ini seseorang itu berada dan hidup mewah tetapi dia sebenarnya adalah orang muflis yang pasti akan merana dan menderita di akhirat nanti kerana mungkin mereka pernah beramal dan melakukan kebaikan tetapi amal kebaikan itu terpaksa diambil sebagai bayaran ganti rugi kepada orang lain yang pernah dianiayai selepas dibicarakan di mahkamah pengadilan Allah s.w.t di Padang Mahsyar nanti.
Bukan itu saja yang paling malang sekali ialah kejahatan orang itu pula dilemparkan ke atasnya setelah pahala amal ibadatnya habis dan jika kejahatan orang lain dilonggok ke atasnya, maka dialah yang akan mengambil tempat orang itu di dalam neraka.
Alangkah malangnya nasib seseorang yang telah jatuh muflis di akhirat nanti yang mana kalau di dunia ini mungkin seseorang itu boleh hidup dalam keadaan selesa dan bebas, sekalipun dia diisytiharkan sebagai seorang muflis oleh mahkamah di dunia. Namun, apabila seseorang itu diisytiharkan sebagai muflis di mahkamah akhirat nanti, dia tidak berpeluang langsung untuk membela dan menyelamatkan dirinya, malah segala kebaikannya akan dirampas dan ditukar dengan kejahatan orang lain.
Apabila ditinjau dalam masyarakat hari ini, maka kita dapati umat Islam diancam oleh masalah kemuflisan ini. Mereka akan menjadi seorang muflis di akhirat nanti, kerana bukan saja dia tidak mempunyai modal dan pahala amalan, malah dia adalah seseorang yang sangat keji dan kesat kata-katanya, suka memaki hamun orang lain terutama sesama Islam, suka menyakiti orang lain, bukan saja dengan lidahnya, malah kaki tangannya suka memukul dan menganiayai orang lain.
Oleh hal yang demikian, janganlah terpedaya dan rasa puas dengan amal ibadat yang kita lakukan sekiranya perbuatan dan perilaku buruk yang boleh menyakiti dan menganiayai orang lain tidak dapat dihindarkan jauh daripada diri kita kerana tindakan tersebut berpunca daripada sifat keji yang berakar umbi dalam jiwa seseorang yang mana sifat ini adalah amat berbahaya dan sentiasa merosakkan benih iman dan amal kebaikan seseorang. Samalah dengan pokok tanaman yang diserang oleh serangga yang merosakkan akar tunjang pokok tersebut.
Awasilah segala tingkah laku dan tutur kata agar ia tidak menyebabkan berlaku penganiayaan terhadap orang lain kerana apabila seseorang menganiayai orang lain maka sebenarnya dia menganiayai dirinya sendiri, bukan orang lain. Dan kebarangkalian untuk dia menjadi muflis di akhirat nanti akibat perlakuannya itu terbuka luas. Inilah yang menjadi kebimbangan kita.