Pages

Friday, June 28, 2013

NERAKA ITU SIKSA

Jika hati keras dipujuk dosa
Kenangkan seketika seksa neraka
jurang dalam hitam yang menyala
sumur nanah dan telaga bisa
jilatan membakar kobaran menggila
kau takkan tega di sana

Jika jiwa gelap dibujuk mazmumah
sentuh kulitmu yang tipis
mampukah kiranya menahan cairan besi
dapatkah ia bertahan di relau nan membuak
panas...panas...panasnya
70 ganda berbanding api dunia

Jika dirimu liar dirasuk nafsu
bayangkan kau dipasung jahannam
teriak, tangis dan dengus berapi
dihembus dari lidah yang hangus
nafas berasap dan kau tercungap
hampir mati, kau dihidupkan kembali
begitulah....berulang kali

Teman....
Bayangkan laut itu neraka
Bayangkan udara ini bara
Bayangkan bumi seluruhnya api
Kayu-kayuan, pepasir dedaun sepanas mentari
Balasan penghuninya yang berdosa
Maya pada ini bertukar menjadi neraka

Bayangkan...
Neraka itu lebih dasyat
Daripada apa yang dapat kau bayangkan
Marilah kita terima kesukaran ini
Demi mencapai kesenangan abadi
Biarlah bersusah di dunia yg sementara
Asalkan tak terjun ke neraka yang selamanya!

(Buku Di Mana DIA Di Hatiku)

Doa Mohon Kasih Sayang Allah

Ya Tuhanku, 
Sesungguhnya kami memohon kepada Engkau akan rasa cinta kasih kepadaMU...
Dan rasa cinta kasih akan mereka yang cinta kepada Engkau...
Dan cinta akan mereka yang memanafaatkan kami akan cintanya di sisi Engkau...
Dan anugerahkanlah amalan yang menghampirkan kami Ya Allah kepada Engkau...
Juga amalan yang menyampaikan kami kepada rasa cinta kasih kepada Engkau.


Wahai Tuhanku, Engkaulah tujuanku dan keredhaanMU yang ku cari...

Kurniakanlah padaku mengenal akan Dikau dan Kasih SayangMU...

Doa Memohon Keredhaan Allah

Wahai Tuhan ku, 
Redhakan aku pada perkara yang Engkau tentukan bagiku...
dan dengan perkara yang Engkau dorongkan daku kepadanya...
dan rezekikan daku melaksanakan perkara yang Engkau tuntut dariku...
dan menyempurnakan bagi perkara yang Engkau telah perintahkan aku dengannya...
dan redhakan daku dengan perkara yang Engkau hukumkannya keatasku...
dan sinarkan matahatiku dengan keredhaanMU dan cinta padaMU...
Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang



Thursday, June 27, 2013

Doa Mohon Perlindungan Dari Syaitan,Godaannya dan Mohon Berlindung dari Kejahatan Anggota Badan

Doa Mohon Perlindungan dari Syaitan dan Godaannya:
" Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari Syaitan yang terkutuk, dari godaannya baik tiupan atau hembusannya"

Doa Mohon Berlindung daripada Kejahatan Anggota Badan :
" Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon supaya Engkau melindungi aku daripada kejahatan pendengaranku, pandanganku, pertuturanku, hatiku dan juga daripada kejahatan mengungkit-ungkit"


Tuesday, June 25, 2013

Pada setiap butiran pasir tersembunyi hikmah


"Ada perkara yang kamu tidak sukai sedangkan perkara itu baik untukmu. Ada pula perkara yang kamu sukai sebenarnya buruk buatmu"

KISAH TELADAN UNTUK RENUNGAN

Pada zaman dahulu, terdapat seorang raja yang memerintah dengan adil. Rakyat di dalam negerinya hidup dalam keadaan aman dan makmur. Rahsia di sebalik semua ini adalah kerana raja mempunyai seorang Bendahara yang merupakan penasihat yang baik. Apa yang istimewa pada Bendahara ini, setiap kali menyelesaikan masalah rakyat dia akan berpesan bahawa segala sesuatu itu mengandungi hikmah yang tersembunyi.

Pada suatu hari, raja bermain pedang dengan adindanya dan adinda raja telah menghayun pedang dan mengenai betis raja sehingga mengakibatkan luka yang sangat dalam.

Raja merasa gusar akan niat yang terpendam dalam diri adindanya. Bagi merungkai persoalan ini raja telah memanggil Bendahara untuk menghadapnya dan menyuarakan kegusaran baginda terhadap niat sebenar adinda Raja. Bendahara meneliti setiap bicara Raja berhati-hati dan akhirnya bendahara menjawab "Perkara ini perlu penelitian yang mendalam agar kita tidak tersilap membuat hukuman. Mengenai luka itu...menurut pandangan patik, ada hikmah yang tersembunyi wahai tuanku" Bendahara cuba memisahkan antara kisah luka dengan tuduhan berat yang bersarang dalam diri Raja.

Raja murka dengan jawapan tersebut. "Baiklah, hari ini beta akan lempar bendahara ke dalam penjara, sekarang apa jawapan bendahara?" titah raja. "Sekiranya itu keputusan tuanku, patik menerimanya dan pasti ada hikmahnya" ujar bendahara. 

Maka bendahara itu dipenjarakan dan tidak lama kemudian raja telah pergi ke hutan untuk memburu, oleh sebab terlalu asyik raja terpisah dari kumpulan pengawalnya. Raja telah tersesat dan telah ditangkap oleh sekumpulan puak untuk dijadikan sebagai korban upacara pemujaan. 

Ketua pemujaan tampil untuk membuat pemeriksaan terakhir dan matanya menatap setiap inci tubuh raja. tiba-tiba dia terhenti, jelas riak wajahnya menunjukkan kekecewaan, lalu berkata "Kamu tidak boleh dikorbankan kerana padamu terdapat parut luka yang sangat hodoh.Ini tidak memenuhi syarat upacara korban kami dan kamu dibebaskan.

Alangkah gembiranya Raja tersebut dan tergetus dalam hatinya "Parut ini sudah menyelamatkan aku" Dan sebaik selamat tiba di istana, baginda terus berjumpa dengan bendahara di penjara lalu menceritakan segala terjadi.

"Benar katamu wahai bendahara yang bijaksana, disebalik luka beta ini rupanya mengandungi hikmah yang besar. Tahukah kamu.. dengan sebab luka ini beta masih hidup sekarang" Ujar Raja dengan penuh kesyukuran.

"Wahai Bendahara, luka beta ada hikmahnya, apakah hikmahnya bendahara teraniaya sehingga dipenjara?"tanya Raja bergumpal rasa bersalah.

"Wahai tuanku, memanglah patik teraniaya tapi cuba bayangkan sekiranya patik tidak dipenjara. Tentu sekali kita berdua akan ditangkap bersama untuk acara korban tersebut. Maka, tuanku akan dibebaskan kerana parut pada betis tuanku sebaliknya patik pula pasti akan dijadikan bahan korban kerana tiada kesan parut atau cela pada tubuh patik. Benarlah setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

Thursday, May 23, 2013

MEMBACA - SALAH SATU SUMBER ILMU

Siapa diri kita akan datang, akan dicorakkan oleh buku apa yang kita baca sekarang.

Membaca adalah anak kunci pengetahuan. Ilmu boleh dimiliki dengan membaca. Mulakan membaca walaupun dengan kadar yang sedikit.

"When you stop learning, you stop leading-apabila kita berhenti belajar, kita berhenti memimpin.Setiap kita adalah pemimpin, sekurang-sekurangnya pemimpin kepada diri sendiri. Ingat selalu "leaders are learner-pemimpin adalah orang yang sentiasa belajar."

Ilmu yang dimiliki tetapi tidak diamalkan samalah seperti meletakkan pelita di atas atap. Apa hasilnya? Ruang dalam rumah tetap gelap kerana cahaya hanya tersebar di atas atap.

Ingatlah kata-kata hukama:  Orang yang berjaya ialah orang yang hari ininya lebih baik daripada semalam. Orang yang terpedaya ialah orang yang hari ininya sama seperti semalam. Dan orang yang celaka ialah orang yang hari ininya lebih buruk daripada semalam.

Maka sentiasalah berusaha memperbaiki diri dgn ilmu. Kita akan sentiasa berubah, sama ada menjadi orang yang lebih baik atau sebaliknya. Jika kita tidak menaik, kita pasti sedang menurun.

Dari buku Buku Mukmin Profesional : Celik Mata Hati (Ustaz Pahrol Mohamad Juoi)






Manfaatkanlah persamaan dan matanglah dalam menguruskan perbezaan.


Berbeza pandangan tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah manusia. Selagi kita manusia, selagi itulah kita berbeza. Itu satu ketetapan daripada Allah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. 

Namun, yang menjadi masalah ialah sikap manusia dalam menghadapi perbezaan. Padahal perbezaan tidak semestinya satu pertentangan, jika diuruskan dengan baik, yakni dengan sikap lapang dada, saling menghormati dan paling penting ikhlas kerana Allah. 

Manfaatkanlah persamaan dan matanglah dalam menguruskan perbezaan.
- Ustaz Pahrol Mohamad Juoi-

Alam ini adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar


Alam ini adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.

Fahamilah ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku keatas kita. Jika tidak, maka terpaksalah kita mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui individu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.

Ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang.

Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti kita akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan
http://genta-rasa.com/2011/03/07/frust-dalam-bercinta/#more-1318

Kaya atau Miskin Bukan Penentu Kejayaan



Kaya atau miskin bukan penentu kejayaan.

“Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita… 
Allah baru menguji kita. Bila Allah berikan kemiskinan..
 bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita
 tetapi sebaliknya Allah sedang menguji kita.

Situasi ujian yang dihadapi manusia adalah berbeza. Justeru, yang menentukan suatu kejayaan bukan situasi tetapi RESPONS HATI ketika menghadapi situasi itu.

Ujian tidak akan menghina atau memuliakan kita tetapi reaksi atau respons kita terhadap ujian itulah yang memuliakan atau menghinakan kita.  Yang sabar dan syukur, jadi mulia… 
lalu mereka berjaya. Yang putus asa dan takbur, 
jadi hina… lalu mereka gagal.
http://genta-rasa.com/2012/12/31/all-is-well-semuanya-baik-belaka/#more-2369

Hadis Qudsi- Ikhlaskan Amalanmu


Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam

Wahai hamba kepada dinar dan dirham
Aku menjadikan kedua duanya bagimu supaya kamu
memperolehi makanan dan pakaian daripada rezekiKu agar
engkau bertasbih kepada Ku dan mensucikan Aku

Tetapi kemudiannya kamu mengambil kitabKu

dan kamu letakkannya di belakang kamu

Kamu mengambil dinar dan dirham dan

kamu junjung di atas kepalamu

Engkau memuliakan rumah rumahmu dan

kamu merendah rumah rumahKu

Bukanlah kamu itu orang baik baik dan orang merdeka

melainkan kamu itu hamba dunia

Sebenarnya penghimpunan seperti itu

(yang menghimpunkan harta di dalam dunia)
umpama kubur yang diwarnakan dengan warna putih
Zahirnya kelihatan indah tetapi didalamnya sangat mengerikan

Kamu juga berbuat baik terhadap manusia

serta mengasihi mereka dengan kata katamu yang manis
dan perbuatan kamu yang cantik, tetapi kamu menjauhi dengan hati,
hati kamu yang keras dan keadaan kamu yang keji

Wahai Anak Adam

ikhlaskanlah amalanmu
dan pintalah kepadaKu akan kuperkenankan
permintaanmu itu lebih banyak daripada
yang dipinta oleh orang yang meminta

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah) 



Kenanglah Saat Berpisah...

Kata Hukama: “Beramallah ketika berada di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi ada peluang beramal (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada peluang beramal (akhirat).”

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali

“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.” Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. 

Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. 

“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.” Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat.

Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya.. Syurga!

http://genta-rasa.com/2009/07/31/kenangkanlah-saat-berpisah/#more-512



Wednesday, May 22, 2013

Bukan semua yang disukai memberikan kesukaan akhirnya

Di sebuah perkampungan terpencil di India,tanaman dan harta benda penduduknya sering dirosakkan oleh monyet-monyet liar. Mereka perlu membanteras monyet liar agar tidak bermaharajalela.

Untuk menangkap haiwan separa pintar ini bukanlah tugas yang mudah. Namun,setelah membuat penelitian mendalam,mereka menggunakan satu kaedah unik dan berkesan.

 Mereka membuat sebuah kotak kayu lalu dipakukan ke lantai. Di bahagian atas kotak tersebut dibuatkan lubang kecil sebesar ukuran tangan monyet.Lubang itu hanya boleh dimasuki lubang kecil sebesar ukuran tangan monyet.Lubang itu hanya boleh dimasuki ketika jari-jari tangan dikuncupkan.Di dalam kotak itu diletakkan makanan. Setelah siap,kotak itu dibiarkan.

Monyet-monyet pun datang.Mereka pun menghulurkan tangan kedalam lubang tersebut untuk mengambil makanan.

Makanan digenggam dan ditarik keluar.Apa yang berlaku ialah tangan mereka tersekat kerana mereka sedang menggenggam makanan dan tak dapat memboloskan tangan dari kotak tersebut.

Pada saat inilah ketika sedang terkial-kial,penduduk kampung datang menyerbu dengan kayu keras. Mereka memukul dengan kuat monyet-monyet malang itu sehingga remuk tengkorak.Luka pada tubuh monyet sangat dalam dan darah terpercik di serata tempat.Jeritan dan raungan ialah bahasa kesakitan yang tidak dapat digambarkan.

Yang hairannya,walaupun monyet-monyet itu dipukul dan menanggung kesakitan yang tidak terperi sakitnya,monyet-monyet tersebut masih menggenggam makanan dengan kuat dan tidak mahu melepaskannya.Tangan terus terlekat pada kotak dan monyet terus dipukul sehingga mati.Cerita ini sangat menyayat hati.

Kesukaan dan keghairahan kepada makanan menyebabkan monyet tidak boleh melepaskan makanan itu walaupun sebentar untuk lari menyelamatkan diri.Kesukaan dan keghairahan itu sebenarnya yang membunuh mereka!

Namun pun demikian,hal yang sama berlaku kepada manusia yang mendakwa pintar.Begitu banyak pengalaman dalam hidup ini memberikan isyarat dan mesej yang jelas,bahawa ada perkara yang disukai dalam hidup ini tetapi ia membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.

Manusia malangnya tidak mahu melepaskan seperti perangai monyet yang tak mahu melepaskan makanan meskipun diancam bahaya. Sebaliknya mereka terus menerus membuat,mengulang-ngulang kesalahan,merasai kesan serta akibat bersama kesakitan dan menderitainya sampailah saat hancur binasa.

Ingat dan sentiasa ingat, bahawa bukan semua yang kita sukai akan memberikan kebaikan dan keseronokan pada akhirnya.




Monday, May 20, 2013

HADIS QUDSI(KITAB I.GHAZALI, AL-MAWA’IZ FIL AHADIS AL-QUDSIAH)


Wahai anak Adam, janganlah kamu tergolong dalam golongan mereka yang suka melengah-lengahkan taubat dan memanjangkan angan-angan.

Janganlah kamu mengharapkan kebahagiaan akhirat tanpa beramal.

Memperkatakan perkataan ahli-ahli ibadah tetapi beramal dengan amalan munafik. Sekiranya diberikan tidak pernah merasa cukup. Sekiranya tidak memperoleh sesuatu tidak mahu bersabar.

Menyeru kepada kebaikan tetapi tidak melakukan kebaikan. Mencegah kemungkaran tetapi masih bergelumang dengannya.

Mengasihi orang soleh tetapi tidak mahu bersama golongan mereka. Membenci orang munafik tetapi kamu terdiri daripada golongan mereka. Bercakap perkara yang tidak dibuat. Buat apa yang tidak disuruh. Meminta ditunaikan janji-janji Allah tetapi ia tidak menunaikan hak-hakNya.

Wahai anak adam, setiap hari yang baru, bumi akan menegurmu dengan kata-kata: ‘wahai anak adam, engkau berjalan di permukaanku, dan setelah itu engkau akan disimpan ke dalam perutku. Engkau memakan sebanyak yang engkau inginkan ketika berada di permukaanku kemudian engkau akan dimakan ulat di dalam perutku.’

Wahai anak adam, setiap hari bumi berkata kepadamu: ‘wahai anak Adam, aku ialah rumah yang sengsara. Aku adalah rumah yang bakal meninggalkanmu keseorangan. Aku ialah rumah yang gelap. Aku ialah rumah bagi ular dan kala jengking. Oleh itu, makmurkanlah dengan amal soleh, dan janganlah engkau runtuhkan daku.’

HADIS QUDSI(KITAB I.GHAZALI, AL-MAWA’IZ FIL AHADIS AL-QUDSIAH)


Orang yang panjang angan-angan duniawinya akan melengahkan perkara yang sangat penting dalam ibadah iaitu taubat, natijahnya : -
  • Amal soleh tidak mampu dibuat walaupun ada keinginan terhadap keselamat di akhirat
  • Pelaksanaan akan bercanggah dengan apa yang disebut
  • Tidak akan merasa puas terhadap apa yang telah didapati
  • Tidak bersabar atas kekurangan diri
  • Menjadi pembohong apabila menyeru kebaikan tetapi tidak melaksanakannya begitu juga soal kemungkaran masih menjadi ketagih kepadanya
  • Hanya melihat dan menghormati orang soleh tetapi hati begitu keras untuk mengikuti kebaikan mereka
  • Selalu menunjukkan rasa benci terhadap golongan munafik tetapi apabila diteliti pada amalan banyak persamaan dengan golongan itu
  • Cakap tidak dibuat, buat apa yang tidak diperintah
  • Sering merungut tentang harapan dan permohohan yang dipohon kepada Allah agar dikabulkan tetapi tidak pernah berfikir tentang titah perintah Allah yang tidak dilaksanakan




Sunday, April 7, 2013

Di Mana DIA di hati ini...


Apabila seseorang mencintai Allah, maka Allah akan mencintainya. Dan apabila seseorang dicintai Allah, maka hidup dan matinya akan dipermudahkan oleh Allah. Seluruh energi alam akan menyebelahinya. Di dalam hadis qudsi, Allah swt berfirman:


“Jika Allah mencintai seorang hamba maka Allah akan berkata, “Wahai Jibrail, Aku mencintai seorang hamba maka cintailah dia. Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata, “sesungguhnya Allah mencintai sifulan maka cintailah dia.” (musnad Imam Ahmad dari Abu Hurairah).

*******************************

Orang yang sedang mabuk bercinta.. bila mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang, yang busuk terasa wangi, asyik teringat-ingat akan orang yang dicintainya. Begitulah umpama mabuk cinta Illahi, dia akan sentiasa mengingati Allah, munajat doa dijadikan pelerai rindu, segala musibah yang menimpa dirasakan terbaik untuknya, sangat tenang dan bahagia hatinya biarlah tiada dapat yang lain asalkan dapat cinta ALLAH.

Ya Allah, aku tahu aku belum mencintaiMu sepenuh hatiku sebab hatiku masih terpaut pada dunia, aku masih risau perihal rezekiku, aku masih risau kemana jalan masa depanku, aku masih bergantung harap pada manusia sedangkan hati manusia itu Engkau yang pegang, tambahkanlah keyakinan ku akan kebesaran Mu Ya Allah..

Sesungguhnya aku hanyalah seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-Nya…”

Belum ada DIA di hati ku, hidup ku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari dengan langkah mujahadah ini. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunan-Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan-Nya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat.



"Teruslah berusaha sedaya upaya untuk meraih cinta Allah.. Walaupun amat sukar tetapi itulah satu-satunya jalan ke arah keselamatan, ketenangan dan kebahagiaan. Sekalipun tidak sampai, tidak mengapa… asalkan kita telah menempuh jalannya. Allah sesungguhnya menilai apakah kita ‘sudah berjalan’.. bukan pada apakah kita ‘sudah sampai’". 


Jika ingin mati di jalan Allah..sibukkanlah diri di jalanNYA..



Analogi Lori Pasir Berlanggar....
Jika lori berisi pasir berlanggar, yang akan terkeluar dan berselerak ialah pasir. Sebaliknya jika lori sampah, sampahlah yang akan berterabur dan tersembur keluar.

Samalah seperti manusia. Manusia yang lidah, hati dan dirinya sentiasa dipenuhi dengan zikrullah, maka kalimah zikir itulah yang akan terluncur keluar bila tiba saat kematiannya. Sebaliknya jika perkara-perkara kotor yang ada dalam dirinya, maka perkara itulah yang akan tersembur keluar di saat kematiannya. Takkanlah lori sampah akan mengeluarkan pasir apabila berlanggar?  

Kata-kata Imam Al Ghazali - Cara mati kita ditentukan oleh cara hidup kita. 

Oleh itu tentulah hanya orang yang sering ke masjid terpilih untuk mati di masjid. Dan orang yang konsisten solat sahaja yang besar kemungkinan mati dalam keadaan bersolat. Namun adakah mati dalam keadaan baik atau sebaliknya itu lebih utama?

Yang lebih utama adalah... menentukan cara hidup yang baik. Siapa yang hidup cara baik akan mati baik. In shaa Allah


Friday, April 5, 2013

Surah Al-Hujuraat 49:6




Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Al-Hujuraat 49:6) 

Asbabun Nuzul (Sebab-Sebab Turunnya Ayat al-Quran ini):
Imam Ahmad dan lain-lainnya mengetengahkan sebuah hadis dengan sanad yang Jayyid melalui Harits bin Dharar Al Khuza'i yang telah menceritakan, "Aku datang menghadap kepada Rasulullah saw. lalu beliau mengajakku masuk Islam, lalu aku menyatakan diri masuk Islam di hadapannya. Dan beliau menyeruku untuk mengeluarkan zakat, maka aku berikrar kepadanya akan mengeluarkan zakat, lalu aku berkata, 'Wahai Rasulullah! Bolehkah aku kembali kepada kaumku, aku akan ajak mereka masuk Islam dan menunaikan zakat. Maka barang siapa yang memperkenankan hal itu aku akan mengumpulkan harta zakatnya, lalu engkau mengirimkan utusanmu kepadaku dalam jangka waktu yang cukup supaya orang tersebut dapat membawa semua harta zakat yang telah aku kumpulkan kepadamu.'" 

Setelah Harits berhasil mengumpulkan harta zakat kaumnya, waktu yang telah dijanjikan telah tiba, ternyata Rasulullah saw tidak mengirimkan utusannya. Setelah ditunggu-tunggu ternyata tidak juga muncul, maka Harits menduga bahwa Rasulullah saw. marah terhadap dirinya; lalu ia mengumpulkan semua orang-orang kaya kaumnya, dan berkata kepada mereka, "Sesungguhnya Rasulullah saw dulu telah menentukan waktu untuk mengirimkan utusan kepadaku supaya mengambil zakat yang berhasil aku kumpulkan ini. Aku yakin bahwa Rasulullah tidak akan menyalahi janjinya, menurut dugaanku tiada yang menghalangi beliau untuk datang kepadaku melainkan beliau marah kepadaku. Maka sekarang marilah kita berangkat untuk menyerahkannya langsung kepada Rasulullah saw." 


Pada saat bersamaan Rasulullah saw mengirim Walid bin Uqbah untuk mengambil harta zakat yang ada pada Harits. Hanya saja ketika Walid sampai di tengah jalan, ia kembali lagi menghadap Rasulullah saw. dan melapor, "Sesungguhnya Harits menolak untuk membayarkan zakatnya kepadaku, bahkan dia hampir saja membunuhku." Maka Rasulullah saw kembali membentuk utusannya yang baru untuk dikirimkan kepada Harits. Tetapi ketika para utusan itu baru keluar dari Rasulullah, tiba-tiba datanglah Harits bersama dengan teman-temannya dan bertembung dengan para utusan itu. 


Lalu Harits bertanya kepada mereka, "Hendak ke manakah kalian diutus?" Mereka menjawab, "Kami diutus untuk menemuimu." Harits kembali bertanya, "Mengapa?" Mereka berkata, "Sesungguhnya Rasulullah saw telah mengutus kepadamu Walid bin Uqbah, lalu ia melaporkan bahwa kamu tidak mau membayar zakat kepadanya dan bahkan kamu hendak membunuhnya." Harits berkata, "Tidak, demi Allah yang telah mengutus Muhammad dengan membawa perkara yang hak, aku tidak pernah melihatnya dan belum pernah pula aku kedatangan dia." Ketika Harits datang menghadap Rasulullah saw. lalu Rasulullah saw. berkata kepadanya, "Kamu tidak mahu membayar zakat, dan bahkan kamu bermaksud untuk membunuh utusanku." Harits menjawab, "Tidak, demi Tuhan yang telah mengutusmu dengan membawa perkara yang hak." Maka turunlah ayat tersebut untuk membenarkan pengakuan al-Harits.


Walaupun hadis di atas membicarakan sikap al-Walid yang menyebarkan berita palsu, tetapi hukumnya umum dan berlarutan sehingga ke hari akhirat. Kaedah tafsir menetapkan pengajaran dan iktibar itu diambil kira berdasarkan lafaz umum bukan sebab khusus.

Kisah ini memberi peringatan dan panduan kepada kita adab atau etika apabila menerima sesuatu maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Sikap tergopoh-gapah menerima sebarang berita disampaikan boleh mendatangkan penganiayaan kepada orang lain.

KOMUNIKASI dan penyebaran maklumat disebar pantas secara maya (virtual) melalui internet. Penciptaan alat komunikasi ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan baik.

Pengguna perlu berdisiplin, mengikut peraturan dan bertanggungjawab supaya kemajuan itu tidak disalahgunakan terutama menyebarkan perkara tidak benar. Segala berita yang disebarkan, hendaklah diselidik terlebih dulu. Untuk menilai kesahihan sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran sudah ada garis panduannya. 

Allah sudah memberi peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti serta menyelidik terlebih dulu berita disampaikan kepada mereka. Jangan tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita dan jangan terlalu cepat menafikannya sebelum membuat penelitian terhadap kebenarannya.

Takut jika terlalu tergesa-gesa membuat keputusan berdasarkan berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.

Umat Islam seharusnya berhati-hati menerima berita yang disebarkan. Namun, masih ada segelintir umat Islam yang mudah menerima tanpa memastikan kebenarannya. 

Selain itu, umat Islam juga seharusnya berfikir dengan rasional manfaat dan kemudaratan hasil tindakan yang akan dilakukan. Islam itu benar. Sampaikanlah kebenaran. Setiap tindakan akan mencerminkan keperibadian seseorang muslim itu sendiri


Saturday, March 16, 2013

KESULITAN DALAM BERMUJAHADAH




Dalam hidup ini, manusia akan berhadapan dengan dua perkara:

Pertama, perkara yang PERLU dilakukan.
Kedua, perkara yang SUKA dilakukan.

Dan sudah menjadi sunnatullah, KEDUA-DUA perkara itu SALING bertindak BERTENTANGAN. Biasanya perkara yang PERLU kita lakukan adalah perkara yang TIDAK SUKA kita lakukan. Dan perkara yang kita SUKA lakukan adalah perkara yang TIDAK PERLU kita lakukan. Renung-renungkanlah...

Contohnya, solat subuh. Bila hampir masuknya waktu subuh, perkara yang perlu kita lakukan ialah bingkas bangun, membersihkan diri, bersuci dan terus berwuduk. Itulah antara perkara-perkara yang perlu kita lakukan. Namun, apakah perkara yang kita suka lakukan?

Ya, diikutkan rasa, kita suka untuk terus tidur dan bersenang-senang. Subuh itu sejuk, gelap, nyaman… waktu yang paling enak untuk menyambung tidur. Bangun subuh ialah perkara yang perlu, manakala terus tidur ialah perkara yang kita suka buat.

Yang mana satu lebih baik? 
Tentulah solat itu lebih baik daripada tidur. 
Tapi apa yang NAFSU inginkan? 
Jawabnya, tidur!

Jadi lawanlah nafsu....dan bingkas bangun.

Untuk melakukan perkara yang perlu dibuat walaupun kita tidak suka membuatnya, menagih ketabahan, keberanian dan istiqamah [konsisten].

Untuk berjaya, mujahadah itu perlu. BerMUJAHADAH ertinya 'BERPERANG' dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh HAWA NASU. Hawa nafsu yang hanya inginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan kebaikan, peringatan dan ketaatan. Menentang hawa nafsu, samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Ini yang menyebabkan satu mujahadah selalu patah. Atau belum pun bermujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diri untuk “disakiti”

Manusia berasa terlalu sulit, payah dan susah dalam bermujahadah di jalan Allah. Namun, ingatlah mujahadah itu pahit, kerana syurga itu manis.“Syurga dipagari dengan kesusahan, manakala Neraka dipagari oleh keseronokan.”

Sesungguhnya, jalan mujahadah itu adalah jalan kita. Di jalan itu, sering berlaku dialog dalam diri. Apabila susah melanda, kita merintih. Apabila godaan mendatang, kita cuba bertahan. Apabila nikmat menjelma, kita lega tetapi tidak lama, sukar pun datang mencabar, kita cuba sabar. Ingat selalu, untuk berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang PERLU kita buat walaupun kita tak suka. Tidak ada pilihan, Tidak ada jalan pintas, tidak ada jalan singkat. Tidak ada keajaiban melainkan PERLU MENEMPUH jalan susah.PAKSA DIRI untuk melakukannya! Lawan godaan dan ransangan yang menggamit hati kita untuk melakukan perkara yang suka dilakukan. Lakukanlah perubahan dalam diri. Ingatlah, untuk mendapat ubat, orang boleh beri ubat.. tetapi untuk merasai kepahitan dan kemujaraban ubat, kita kenalah merasainya sendiri..

http://genta-rasa.com/2011/07/04/mahar-sebuah-syurga/


Sunday, January 6, 2013

Dunia ini adalah tempat persinggahan untuk menuju akhirat

"Ya Allah, ilhamkanlah kami untuk menjadikan dunia ini sebagai ALAT untuk mencapai MATLAMAT iaitu AKHIRAT agar kami dapat berkumpul di JannahMU" 



"Barangiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuannya maka Allah akan mencerai beraikan urusannya, dan menjadikan kefakiran di pelupuk matanya, dan dunia tidak akan datang kepadanya melainkan apa yang telah ditetapkan baginya. Dan barangsiapa yang akhirat menjadi tujuannya maka Allah akan menyatukan urusannya, dan menjadikan berkecukupan di hatinya, dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan tunduk.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, no. 3313 dan dishahihkan oleh Al-Albani dalam Silsilah Ahadits Shohiihah, no. 950)


Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(Al-Hadiid 57:20)


Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).
(Yaa Siin 36:9)


"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.
(Ghaafir 40:39)