Pages

Saturday, February 21, 2015

MENGHAYATI ERTI REZEKI ALLAH

Perkataan al-Rizq atau melayu sebut rezeki bermaksud pemberian ataupun kurniaan samada bersifat duniawi ataupun agama. Segala yang boleh dimanfaatkan, samada yang boleh dimakan ataupun tidak boleh dimakan maka itu rezeki.

Ertinya segala yang kita miliki dari perkara yang bermanfaat ataupun memberikan kebaikan buat kita samada di sudut keperluan dunia semata ataupun untuk agama maka itu adalah kurniaan ataupun rezeki. 

REZEKI BUKAN SAHAJA MINUMAN, MAKANAN, HARTA, KENDERAAN DAN SEGALA RUPA BENTUK KEBENDAAN SEMATA, REZEKI JUGA ILMU PENGETAHUAN, KASIH SAYANG, KEBAHAGIAAN, KELUARGA, ANAK, ISTERI, KESIHATAN, KESELAMATAN, KEGEMBIRAAN DAN SEUMPAMANYA

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"
(Ar-Rahmaan 55:13)

Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.
(Al-Hijr 15:98)

Agama tidak menyuruh kita duduk saja tanpa berusaha mencari rezeki. Tiada dalam Islam bertawakkal tanpa berusaha. Nabi s.a.w menyebut:

“Jika kamu bertawakkal kepada Allah benar-benar tawakkal nescaya Allah merezekikan kamu seperti DIA merezekikan burung. Burung keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dll, sahih).

Ada pihak cuba gunakan hadis ini untuk tidak berusaha atas alasan Allah akan berikan rezeki seperti burung. Itu fahaman yang salah. Hadis ini menceritakan bahawa selepas benar-benar tawakkal, seseorang hendaklah seperti burung yang keluar dari sarangnya pada awal pagi mencari rezeki dan akhirnya pulang kekenyangan. Burung tidak tidur dalam sarangnya tanpa usaha. Demikianlah muslim dengan rezekinya. Alam ini ada peraturan dan percaturan, seseorang hendaklah berusaha. Usaha itu adalah ibadah. 
- Dr Maza-

http://drmaza.com/home/?p=2663