Pages

Friday, November 16, 2012

Renungkanlah ciptaan Allah...

Sedang ku bersiar di laman rumah selepas penat memerah akal fikir berkaitan urusan kehidupan sebentar tadi, sehelai daun mangga telah jatuh melayang-layang ke atas bahuku...

Terus terlintas dalam fikiranku bahawa walaupun cuma sehelai daun, pastinya Allah swt mengetahui perihal daun yang usang berwarna coklat itu. Hanya dengan kuasa Allah, ditakdirkan 'ia' gugur dari rantingnya menandakan telah tamat tempohnya hidup di bumi Allah ini. Allah itu MAHA DEKAT dan MAHA MENGETAHUI...

Ku ambil, ku belek dan ku renung sehelai daun yang masih jelas urat-urat jejala tapi ada satu lubang pada daun yang telah koyak mungkin dimakan ulat... daun yang dulunya segar menghijau hijau kini berwarna kusam dan tidak lagi mendamaikan mata memandang...

Daun itu mengingatkan diriku bahawa masa yang beredar akan menukar yang muda kepada tua..yang cantik kepada hodoh...yang gagah kepada lemah..dan yang paling pasti...yang hidup kepada mati...

Sesungguhnya daun itu memberi penuh makna padaku. Dengan statusnya 'dilahirkan' ke bumi sebagai daun, tugas menghasilkan oksigen seperti yang dipertanggungjawabkan telah dilaksanakan sebaik mungkin. Tidak mungkin sehelai daun itu menderhakai perintah Allah..., mogok tidak mahu menjalankan tugas fotosintesis...

Bayangkan apa yang terjadi jika ia memberontak tidak mahu menjalankan suruhan Allah untuk membina molekul-molekul udara yang segar..? Akan huru-hara dunia dan ramai manusia yang mati lantaran tiada kecukupan udara untuk bernafas...

Daun itu bukti nyata di hadapanku bahawa seluruh tumbuh-tumbuhan dan alam sejagat ini sentiasa tunduk dan akur pada sunnatullah dan perintah Allah... dan 'mati'nya daun, ranting, dahan, serta kawan-kawan sejenisnya yang lain tidak akan dibangkitkan lagi untuk melalui Hari Pembalasan... Mereka gugur, jatuh ke tanah, reput lalu menyebatikan diri semula dengan tanah dan mikrob yang lain...

Namun, kitaran itu tidak sama sekali berlaku pada kita yang bergelar manusia. Kita hidup, mati dan pasti dibangkitkan semula untuk Allah menyoal apakah yang telah kita lakukan dengan jawatan kita sebagai:

1) hamba-Nya

2) khalifah di mukabumi-Nya

Renung ke dalam diri...Apakah yang telah ku lakukan dengan 2 jawatan penting itu...?

Sehelai daun itu telah kembali pada ALLAH...Kita akan turut kembali pada-Nya...sebagai manusia.

Bersediakah kita....?

Wallahu a'lam...

- Syed Roslan Jaafar -

No comments:

Post a Comment