Pages

Thursday, January 19, 2017

EH, ITU JE DAH BOLEH MASUK SYURGA?

#NotaTerjemahanBroSyarief

Abu Hurayrah radhiyalLaahu 'anhu meriwayatkan bahawa seorang Badwi datang bertemu Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam, lalu bertanya:

‎يَا رَسُولِ اللهِ، دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ دَخَلْتُ الْجَنَّةَ،

'Wahai RasululLah sallalLaahu 'alaihi wa sallam, tunjukkan aku amalan yang sekiranya aku amalkannya, aku akan masuk syurga!?'

‎قَالَ: تَعْبُدُ اللهَ لَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا،

Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam pun menjawab:

"(1) Engkau mengabdikan diri kepada Allah, tanpa mensyirikkannya dengan sesuatupun,

‎وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ،

(2) Engkau mendirikan solat fardhu,

‎وَتُؤَدِّي الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ،

(3) Engkau tunaikan zakat yang wajib, dan

‎وَتَصُومُ رَمَضَانَ

(4) Engkau berpuasa di bulan Ramadhan."

‎قَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا أَزِيدُ عَلَى هَذَا شَيْئًا أَبَدًا، وَلَا أَنْقُصُ مِنْهُ،

Badwi itu menjawab: 'Demi (Allah) Yang jiwaku berada di tanganNya, aku tak akan tambah dari (semua yang telah engkau sebutkan) ini sesuatupun selama-lamanya, dan aku tak akan kurangkan (apapun) darinya.'

‎فَلَمَّا وَلَّى قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

Apabila dia pergi, Nabi sallalLaahu 'alaihi wa sallam pun berkata:

‎مَنْ سَرَّهُ أَنَّ يَنْظُرَ إِلَى رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَلْيَنْظُرْ إِلَى هَذَا

"Siapa yang merasa ingin menggembirakan dirinya dengan melihat seseorang dari kalangan ahli syurga, maka perhatikanlah orang ini."

[HR Muslim]

Eh.. Itu je dah boleh masuk syurga?

Mana amalan sunatnya? Mana dakwahnya? Mana menuntut ilmunya? Mana doa-doanya? Mana sedekahnya? Mana zikir munajatnya? Mana kahwinnya? Mana keluarganya?

Tak ada?

Malah, sebaliknya, hadist di atas membenarkan apa yang telah Allah subhanahu wa ta'ala khabarkan sekian lama:

‎وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ

"Dan berikanlah berita gembira buat orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa untuk mereka, (telah tersedia) syurga.."

[Al-Baqarah(2):25]

Pra-syarat kepada limpahan rahmatNya iaitu nikmat syurga itu hanyalah IMAN & AMAL SOLEH.

Lihat kembali apa jawapan Nabi kepada si Badwi: Abdikan diri kepada Allah, tanpa syirik. Solat fardhu. Zakat. Puasa.

Semua itu merupakan pakej lengkap asas, mewakili bongkah-bongkah asal IMAN & AMAL SOLEH memuatkan bekas besar bagi setiap kita (*rujuk nota sebelum ini bertajuk UTAMAKAN YANG UTAMA).

Kita beriman? Pastinya ya. Alhamdu lilLah. Syarat pertama lengkap.

Kita beramal soleh? Kita solat? Kita puasa? Kita menunaikan zakat? Pastinya juga ya. Alhamdu lilLah. Syarat ke-2 juga terpenuhi.

Ma Sya Allah. Kita semua telah lama memiliki kelayakan menjadi penduduk syurga.

Benar, hakikat mempertahan kualiti iman dan amal soleh itu menjadi cabaran besar setiap muslim; tetapi ia bukan alasan untuk mengelirukan diri dari keutamaan.

Buktinya kata-kata Badwi itu yang mendakwa dia tak akan menambah atau mengurangi apa pun dari apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasulnya, sudah memadai untuk dinobatkan kelayakan masuk ke syurga.

Demikian agama ini sering menginspirasi dan meluaskan ruang harapan bagi penganutnya agar sentiasa teruja mengejar janjiNya yang telah Dia sediakan buat seluruh mereka yang menyemai subur keimanan di dalam jiwanya.

Janganlah putus asa, dan jangan dipersiakan pula peluang harapan yang luas dariNya.

Fokus yang utama, kemudian tambahlah nilainya bagi melengkapkan segala.
__
‎#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares
#JoinChannelLink>> bit.ly/channelbss

No comments:

Post a Comment