Monday, November 26, 2012

Saat diuji dengan kehilangan


Belajar sedikit demi sedikit untuk menerima kehilangannya.  YANG PERGI HANYALAH JASAD, TETAPI , CINTA DAN KASIH SAYANGNYA TETAP ADA DIHATI, TEGUHKAN SEMANGAT, KUATKAN TEKAD. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula.

Tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak... mereka punya masa depan. Di tangan mu kini segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?

Katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Maka, akan terasalah keindahan cinta sejati. Dulu kita bertemu dengannya untuk berpisah, Kini kita berpisah dengannya untuk bertemu. Harinya pasti tiba. Mohon padaNYA agar dapat bertemu semula menyambung cinta hingga ke syurga.

Buat masa ini sibukkanlah diri mu. BERIBADAHLAH SEHINGGA KAU LETIH UNTUK MERASA SEDIH. Gembirakanlah hati mu. Carilah ilmu dan peluang kebaikan yang banyak bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan.

Sentiasa bisikkan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. KITA CUMA HAMBA, PADA KITA CUMA TADBIR, PADANYA SEGALA TAKDIR Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.   Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan.. pada ku sentiasa ada PEMERHATI.

Bila ujian semakin menghimpit diri, pejamkan matamu dan kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya Aminah menyusul beberapa tahun kemudian. Tidak sempat bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Kenangkan zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari makna kehidupan. 

Sejak baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah!  Itulah Khadijah kekasih Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.

Namun tidak lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi.  Pergi ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku lagi. Abu Talib pula  pergi. 

Tidak cukup dengan itu, ketika Islam sudah bertapak di Madinah. Seorang ayah bernama Rasulullah, kehilangan  pula puteri-puteri kesayangannya Zainab, Ruqayyah dan Umi Khalsum… SUBHANALLAH, TABAHNYA HATIMU YA RASULULLAH. KEMATIAN DEMI KEMATIAN, TETAPI KAU TERUS HIDUP DENGAN HATI YANG BERJUANG. Seolah-olah kematian yang menyedihkan itu menjadi obor perjuanganmu menerangi hati umat yang mati ini!  

Untuk apa semua ini dilakukan oleh Allah yang Maha Kasih kepada kekasihNya Muhammad? Ya, JANGAN BERGANTUNG KEPADA SELAIN-NYA Hanya bergantung kepada-Nya. LALU JIKA KINI KITA SEDANG DIUJI DENGAN KEMATIAN, KENANGKANLAH HIDUP KEKASIH ALLAH, RASULULLAH  s.a.w. Hayatilah dan mengambil ibrah dari setiap episod kematian yang telah dilaluinya, agar terubat kesedihan di hati.

Memberi nasihat memang mudah, tapi melaluinya bisa mendatangkan lelah. Teruskanlah bermujahadah, tak mengapa jika kalah...tapi jangan pernah menyerah.

No comments:

Post a Comment