Friday, October 24, 2014

Tipuan Syaitan Terhadap Mereka Yang Beribadah

"Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman [yang tidak terpedaya kepada hasutannya]" (Saba’ 34 : 20)

Adapun tipuan serta ajakan syaitan terhadap manusia agar meninggalkan beribadah kepada Allah Taala ada 7 macam jalan;

Pertama, syaitan melarang manusia taat kepada ALLAH.Golongan yang dipelihara oleh ALLAH akan menolak ajakannya dan mengatakan: "Aku mengharapkan pahala dari ALLAH.  Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal abadi."

Kedua, syaitan mengajak manusia agar mengakhiri taat, sentiasa memujuk manusia agar tidak mentaati ALLAH, menghasut manusia dengan mengatakan: "Nanti saja kalau sudah tua dan harta sudah mencukupi, masa masih panjang dan usia masih muda atau sebagainya lagi." Golongan yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan: "Ajalku bukan pada tanganku. Jika aku menundakan amalanku hari ini untuk esok, maka  amal hari esok bila pula perlu aku kerjakan? Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal tertentu."

Ketiga, syaitan mengalih muslihat dengan mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan: "Cepatlah beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan yang  lain." Golongan yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan: "Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna dan rosak."

Syaitan lantas menyuruh manusia untuk menjalankan amalan yang baik dengan sempurna agar tidak dicela oleh orang lain. Mereka yang dipelihara oleh ALLAH akan mengatakan:  Cukuplah amalku untuk dinilai oleh Allah dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (orang lain)."

Setelah itu, syaitan membelit dengan membisikkan pujian kepada orang yang beramal: "Betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa bijak dan sempurnanya dirimu."  Mendengar pujian ini, orang yang baik akan mengatakan bahawa: "Semua keagungan dan kesempurnaan itu kepunyaan ALLAH dan bukan datang dari kekuatan atau kekuasaanku. ALLAH yang memberikan taufiq kepadaku untuk dapat mengerjakan amal yang DIA redhai dan memberikan ganjaran yang  besar dengan kurniaanNYA. Jika sekiranya tanpa kurniaan Allah, apalah sangat harga amalku ini, jika dibandingkan banyaknya nikmat ALLAH kepadaku, di samping dosaku yang bertimbun pula."

Dengan gagalnya jalan kelima, syaitan mengajukan pula rencana yang keenam. Cara ini lebih hebat berbanding dengan cara-cara yang terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya kecuali mereka yang cerdik dan hidup hati dan fikirannya. Syaitan berbisik dalam hati manusia: "Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir(bisikan), jangan sampai diketahui oleh manusia kerana ALLAH jualah yang akan menzahirkan amalmu nanti terhadap manusia dan akan mengatakan bahawa engkau adalah seorang hamba ALLAH yang ikhlas." Begitulah syaitan mencampur-baurkan kebaikan beramal dengan ikhlas dengan suntikan beracun : RIAK. Penipuan syaitan sangat tersembunyi. Dengan ucapannya itu syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riak. Orang-orang yang dipelihara ALLAH akan menolak ajakannya dengan mengatakan: "Hai malaun(yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku untuk merosakkan amalanku dengan pelbagai cara yang indah seakan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba ALLAH dan ALLAH swt lah yang menjadikan aku.  Jika Allah kehendaki, ALLAH  akan menzahirkan atau menyembunyikan amalanku. ALLAH jualah berkuasa menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya adalah URUSAN ALLAH.  Aku tidak kisah apakah amalku ini Allah perlihatkan kepada manusia atau tidak kerana itu bukan urusanku."

Gagal dengan cara itu, syaitan akan meneruskan godaannya ; bermain pula dengan qoda’ dan qodar : Dia mengatakan: "Hai manusia, tidak perlulah engkau menyusahkan dirimu dengan beribadah kerana jika engkau telah ditentukan Allah pada zaman azali tergolong dalam makhluk yang bahagia maka tidak menjadi mudharat apa-apa bagi engkau jika meninggalkan amal. Engkau tetap menjadi orang yang bahagia dan sebaliknya jika ALLAH telah menetapkan engkau sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadah kerana engkau tetap akan celaka. "Orang-orang yang dipelihara oleh ALLAH sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan:

"Aku ini hanyalah hamba ALLAH.  Aku berkewajipan menurut perintah Tuhanku. ALLAH Maha Mengetahui, menetapkan kehendakNYa dan berbuat apa yang dikendakiNYA (sesuai dengan kehendak-Nya.) Amalku tetap bermanfaat walau bagaimanapun keadaanku.. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap perlu beribadah untuk menambah pahala. Sebaliknya, jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku akan tetap harus beramal ibadah agar tidak menjadi penyesalan bagiku meninggalkan amal itu. Sekiranya aku dimasukkan ke neraka, padahal aku taat, itu lebih senang daripada aku masuk neraka kerana maksiat. Tetapi tidak akan sedemikian keadaannya kerana janji ALLAH pasti benar dan terjadi.

ALLAH telah menjanjikan kepada sesiapa yang beramal taat kepadaNYA akan diberi ganjaran pahala. Barangsiapa meninggal dunia dalam keadaan beriman dan taat kepada ALLAH, tidak akan dimasukkan ke neraka dan PASTI akan dimasukkan ke dalam syurga.Masuknya seseorang itu ke syurga pun bukan kerana kekuatan amalnya, tetapi kerana janji ALLAH semata yang pasti dan suci.


Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan: "Segala puji bagi ALLAH yang membuktikan janji-Nya dengan syurga.” Semoga ALLAH melimpahkan rahmat-Nya kepada kita. Sesungguhnya dalam mentaati ALLAH  terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita lalui. Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut dan pohonlah perlindungan ALLAH Ta'ala agar terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala sesuatu itu berada di bawah kekuasaan ALLAH dan kepada-Nyalah kita mengharapkan taufiq dan keredhaan. 

DI PETIK DARI BUKU “PENGEMBARAAN MENUJU ALLAH”
(Abu Abrar)


No comments:

Post a Comment