Tuesday, June 25, 2013

Pada setiap butiran pasir tersembunyi hikmah


"Ada perkara yang kamu tidak sukai sedangkan perkara itu baik untukmu. Ada pula perkara yang kamu sukai sebenarnya buruk buatmu"

KISAH TELADAN UNTUK RENUNGAN

Pada zaman dahulu, terdapat seorang raja yang memerintah dengan adil. Rakyat di dalam negerinya hidup dalam keadaan aman dan makmur. Rahsia di sebalik semua ini adalah kerana raja mempunyai seorang Bendahara yang merupakan penasihat yang baik. Apa yang istimewa pada Bendahara ini, setiap kali menyelesaikan masalah rakyat dia akan berpesan bahawa segala sesuatu itu mengandungi hikmah yang tersembunyi.

Pada suatu hari, raja bermain pedang dengan adindanya dan adinda raja telah menghayun pedang dan mengenai betis raja sehingga mengakibatkan luka yang sangat dalam.

Raja merasa gusar akan niat yang terpendam dalam diri adindanya. Bagi merungkai persoalan ini raja telah memanggil Bendahara untuk menghadapnya dan menyuarakan kegusaran baginda terhadap niat sebenar adinda Raja. Bendahara meneliti setiap bicara Raja berhati-hati dan akhirnya bendahara menjawab "Perkara ini perlu penelitian yang mendalam agar kita tidak tersilap membuat hukuman. Mengenai luka itu...menurut pandangan patik, ada hikmah yang tersembunyi wahai tuanku" Bendahara cuba memisahkan antara kisah luka dengan tuduhan berat yang bersarang dalam diri Raja.

Raja murka dengan jawapan tersebut. "Baiklah, hari ini beta akan lempar bendahara ke dalam penjara, sekarang apa jawapan bendahara?" titah raja. "Sekiranya itu keputusan tuanku, patik menerimanya dan pasti ada hikmahnya" ujar bendahara. 

Maka bendahara itu dipenjarakan dan tidak lama kemudian raja telah pergi ke hutan untuk memburu, oleh sebab terlalu asyik raja terpisah dari kumpulan pengawalnya. Raja telah tersesat dan telah ditangkap oleh sekumpulan puak untuk dijadikan sebagai korban upacara pemujaan. 

Ketua pemujaan tampil untuk membuat pemeriksaan terakhir dan matanya menatap setiap inci tubuh raja. tiba-tiba dia terhenti, jelas riak wajahnya menunjukkan kekecewaan, lalu berkata "Kamu tidak boleh dikorbankan kerana padamu terdapat parut luka yang sangat hodoh.Ini tidak memenuhi syarat upacara korban kami dan kamu dibebaskan.

Alangkah gembiranya Raja tersebut dan tergetus dalam hatinya "Parut ini sudah menyelamatkan aku" Dan sebaik selamat tiba di istana, baginda terus berjumpa dengan bendahara di penjara lalu menceritakan segala terjadi.

"Benar katamu wahai bendahara yang bijaksana, disebalik luka beta ini rupanya mengandungi hikmah yang besar. Tahukah kamu.. dengan sebab luka ini beta masih hidup sekarang" Ujar Raja dengan penuh kesyukuran.

"Wahai Bendahara, luka beta ada hikmahnya, apakah hikmahnya bendahara teraniaya sehingga dipenjara?"tanya Raja bergumpal rasa bersalah.

"Wahai tuanku, memanglah patik teraniaya tapi cuba bayangkan sekiranya patik tidak dipenjara. Tentu sekali kita berdua akan ditangkap bersama untuk acara korban tersebut. Maka, tuanku akan dibebaskan kerana parut pada betis tuanku sebaliknya patik pula pasti akan dijadikan bahan korban kerana tiada kesan parut atau cela pada tubuh patik. Benarlah setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

No comments:

Post a Comment