Wednesday, February 4, 2015

BELAJARLAH ‘MELEPASKAN’…

Insan yang kuat itu ialah apabila hatinya hancur, berderai tanpa mampu dicantumkan semula, dia berusaha untuk bangun kembali, berdiri teguh menjalani kehidupan yang penuh ranjau dengan senyuman yang indah.. Bukan untuk menunjukkan dirinya kuat, tetapi kerana dia memujuk hatinya yang lara bahawa keyakinannya, kepercayaannya dan takdir hidupnya semuanya dalam genggaman yang Maha Mengetahui dan Maha Penyayang..

Orang yang membuatkan kita marah, hampa, kecewa, merajuk dan berkecil hati, umpama patukan ular.Patukannya hanya sekali! Tetapi bisanya menjalar ke seluruh tubuh, kita mati bukan kerana patukan ular, tetapi kerana bisanya yang meracuni tubuh kita.Demikian jugalah orang yang berbuat salah dengan kita, dia menyakitkan hati kita hanya sekali. Adakah kita akan membiarkan emosi marah kita itu, terpendam dalam hati kita sekian lama, bagai racun yang membinasakan kehidupan kita?”

Ingatlah, kita tak mungkin dapat mengubah sikap malah hati orang lain. Tapi kita boleh berusaha agar hatinya malah sikapnya berubah menjadi lebih baik. Usaha bermaksud laksanakan tindakan yang perlu berserta doa mohon yang terbaik daripada-Nya. Ingat! Hati kita, hati orang lain juga... hanya dipegang oleh Allah SWT. Hanya Allah mampu berikan keputusannya.

Kita harus belajar 'MELEPASKAN' dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Jangan terus terikat, terkenang atau cuba mengawal segalanya, kerana kita hanya HAMBA. Setelah berusaha, jangan diikat hati kita padanya. Ikatlah hati kita hanya pada Allah.

Ingatlah , kita perlu hidup untuk hari ini; bukan untuk hari semalam yang telah kita tinggalkan malah bukan juga untuk hari esok yang masih berbalam. Namun semalam itu sewajarnya dijadikan sebagai panduan; bukan kenangan membunuh kesatriaan dalam diri.Sebaliknya sebagai penyemarak semangat untuk terus melangkah pada hari ini bagi mencipta sesuatu yang lebih baik pada esok hari.

Jangan dipertikaikan kenapa kita, Allah lebih tahu yang terbaik untuk hambaNya. Allah tak akan beri kita pahit, kalau bukan ubat. Kekadang kita diuji kenapa tak berkasut,Tetapi kita lupa ramai orang diuji tak berkaki.

Allah turunkan ujian pada semua walaupun kita tidak pernah memintanya.Sebaliknya semua orang meminta hidup yang tenang tetapi tidak semua orang akan mendapatnya. Situasi yang kita hadapi atau ujian dari Allah mungkin berbeza-beza. Allah mengetahui tahap kemampuan setiap hambaNya.Situasi yang kita hadapi atau alami bukanlah penentu.Tapi respons kita terhadap situasi itulah yang penting dan menjadi penentu.. samada apakah kita melaluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan, melalui keimanan  atau penuh kemarahan  atau melalui pintu-pintu syaitan... .

Allah lebih mengenali hamba ciptaanNya. Yakinlah, boleh jadi kita menyukai sesuatu tetapi ia tidak baik bagi kita. Boleh jadi kita tidak menyukai sesuatu tetapi ia amat baik untuk kita.  

- dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.(Al-Baqarah 2:216) -

Apabila kita REDHA pada sesuatu yang mengecewakan HATI kita, maka percayalah ALLAH TAALA akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangka

Allah menguji dengan sesuatu yang kita sayang agar kita akur segalanya milik Allah. Agar kita senantiasa ingat kecintaan kita kepada Allah diatas segalanya, agar kita tidak meletakkan kasihsayang melebihiNya. Agar kita hanya bergantung harap padaNya.

Belajarlah melepaskan... Ketika bertembung dengan halangan yang sukar, atau setelah segala usaha telah menemui jalan buntu,serah dan pasrahlah kepada kekuatan Allah. Binalah harapan dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Pada detik itulah selalunya terbuka jalan,terserlah penyelesaian. Let go, let GOD! Allah Knows Best!

1 comment: