APAKAH
TUJUAN MANUSIA DICIPTA
Persoalan yang
sering bermain di hati ialah mengapa manusia yang serba kekurangan dan
kelemahan ini dicipta? Apakah tujuan penciptaan manusia?
Segala puji bagi
Allah s.w.t, Tuhan yang mencipta dan mentadbir seluruh alam dan selawat dan
salam atas Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Allah s.w.t ialah Tuhan yang
menjadikan kita dan seluruh makhluk alam zahir dan ghaib. Alam zahir terdiri
daripada manusia, haiwan di bumi dan lautan, tumbuhan, langit, bumi, bulan,
bintang, matahari dan seluruh cakerawala di alam atmosfera ini. Manakala alam
ghaib terdiri daripada para malaikat, alam jin, alam barzakh (kubur), alam
akhirat, syurga, neraka dan seluruhnya yang tidak kita ketahui.
Setiap kejadian yang
berlaku di bumi, di langit dan di alam ghaib juga segala-galanya adalah
kejadian Allah s.w.t. Kenapa manusia diciptakan? Apa tujuan manusia diciptakan?
Inilah yang menjadi persoalan di hati manusia yang ingin memahami hakikat
sebenar tujuan penciptaannya.
Antara tujuan manusa
diciptakan di muka bumi adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Ini
terbukti dengan firman Allah s.w.t dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat 56 yang bermaksud “ Tidaklah aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah
(beribadat) kepada-Ku”
Merujuk ayat ini,
kita semestinya sedar bahawa hakikat yang sangat besar tentang kewujudan
manusia tidak lain tidak bukan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t
semata-mata. Juga dapat difahami, kita diciptakan dan dihidupkan di muka bumi
ini bertujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t secara menyeluruh
dengan merangkumi seluruh aspek dan gerak kerja dalam kehidupan. Ini bermakna
setiap perlakuan, pekerjaan yang dilakukan, apa jua bidang yang kita ceburi
hendaklan disandarkan dengan niat untuk beribadah kepada Allah s.w.t
Beribadah kepada
Allah s.w.t merupakan hakikat fitrah seorang manusia diciptakan. Allah s.w.t
telah mengambil perjanjian dengan manusia semasa awal fitrah kejadiannya lagi.
Firman-nya dalam surah Yasin ayat 60 dan 61 yang bermaksud : “Bukankah Aku
telah mengambil perjanjian (perintahkan) kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu
jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya, ia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku
perintahkan) : “ Hendaklah kamu menyembah-Ku, inilah jalan yang lurus”. Ini
bermakna setiap manusia telah berjanji dengan Allah s.w.t untuk beribadah kepada-Nya.
Oleh itu, apabila manusia lalai daripada menunaikan hak janjinya kepada Allah s.w.t,
dia telah menempah kemurkaan Allah s.w.t. Maka manusia seperti ini tidak akan terlepas
daripada menerima balasan Allah s.w.t di akhirat kelak.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN
BAHAWA MANUSIA ITU KHALIFAH DI MUKA BUMI INI?
Khalifah bermaksud
wakil atau pengganti. Maksud di sini ialah manusia sebagai orang yang
memakmurkan bumi ini. Sebagai manusia, kita adalah khalifah di muka bumi ini
dengan memakmurkannya berlandaskan syariat Allah, menjalankan setiap perintah
atas hukum-Nya dan Islam. Sebaiknya, kita tidak menggunakan perkataan “khalifah
Allah” kerana Allah sama sekali tidak memerlukan pengganti. Kita hanyalah
pengganti kepada orang yang terdahulu daripada kita sahaja.
Islam adalah agama
yang sempurna dan perlaksanaannya menyeluruh dalam semua aspek dan bidang
kehidupan. Sebagai khalifah atau penguasa bumi, kita hendaklah melaksanakan
syariat Islam yang menyeluruh dalam diri, keluarga, masyarakat, setiap usaha
dan ikhtiar, dalam negara bahkan di seluruh pelosok bumi. Dalam melaksanakan
tugas ini bergantung pada kedudukan diri kita sebagai khalifah ataua penguasa
dalam apa jua bidang pun. Umpamanya BAGI
DIRI SENDIRI, kita adalah khalifah yang wajib mentadbir diri mengikut syariat
Allah dari segi aqidah, ibadah, akhlak diri, usaha dan muamalat sesama manusia.
Jika kita berkeluarga, kita khalifah dalam rumahtangga kita sendiri dan wajib
mentadbirnya menurut syariat Allah. Pendidikan, cara hidup anak isteri dan
sebagainya perlulah dipandu berdasarkan hukum bukan mengikut peraturan ciptaan
manusia.
Begitu Firman Allah s.w.t
dalam surah Al-‘Alaq ayat 6 dan 8 yang bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya
manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan
sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (ingatlah) seungguhnya
kepada Tuhanmu tempat kembali (untuk menerima balasan)”
Wallahu a’lam
Ustaz Dr. Abd Basit
Abd Rahman (Abu Anas Madani)
Sumber artikel
daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2
No comments:
Post a Comment