Thursday, January 19, 2017

UTAMAKAN YANG UTAMA

#NotaBroSyarief

Di antara belitan Iblis yang merupakan antara ujian terberat ditimpakan Tuhan di atas kelalaian hamba-hambaNya, ialah kekeliruan pada meletak keutamaan.

Bermula dari urusan ibadah sehingga kepada urusan interaksi sesama makhluq, tidak sedikit yang tunggang terbalik dalam pemilihan kepentingan.

Namun pada urusan dunia, kita usahakan pelbagai kaedah untuk membantu meluruskan kembali pengurusan keutamaan, maka timbullah analisa SWOT, matriks kuadran Penting & Segera, dan sebagainya. 

Bagaimana pula dengan urusan agama?

Oleh kerana urusan agama ini ketetapan dari langit, maka pengurusan keutamaannya juga telah jelas digambarkan oleh wahyu melalui kalamNya dan lidah utusanNya.

Perhatikan gambarannya dari hadits berikut:

‎إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ النَّاسُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ أَعْمَالِهِمُ الصَّلاَةُ 

Sesungguhnya di antara amalan insan yang pertama dihisab di hari kiamat, adalah solat,

‎قَالَ يَقُولُ رَبُّنَا جَلَّ وَعَزَّ لِمَلاَئِكَتِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ انْظُرُوا فِى صَلاَةِ عَبْدِى أَتَمَّهَا أَمْ نَقَصَهَا 

(Pada ketika tersebut) Tuhan kita jalla wa 'azza akan berkata kepada para malaikat, dalam keadaan Dia Maha Mengetahui:

"Lihatlah pada solat hambaKu, adalah dia telah menyempurnakannya, atau ia kekurangan?"

‎فَإِنْ كَانَتْ تَامَّةً كُتِبَتْ لَهُ تَامَّةً وَإِنْ كَانَ انْتَقَصَ مِنْهَا شَيْئًا قَالَ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِى مِنْ تَطَوُّعٍ 

Sekiranya ia lengkap, maka dituliskan ianya lengkap. 

Tetapi sekiranya terdapat sebarang kekurangan, maka Allah berkata:

"Lihatlah, adakah bagi hambaKu itu sebarang solat-solat sunat?"

‎فَإِنْ كَانَ لَهُ تَطَوُّعٌ قَالَ أَتِمُّوا لِعَبْدِى فَرِيضَتَهُ مِنْ تَطَوُّعِهِ ثُمَّ تُؤْخَذُ الأَعْمَالُ عَلَى ذَاكُمْ

Sekiranya dia mempunyai amalan-amalan sunat, maka Allah katakan:

"Sempurnakan bagi hambaKu itu pada bahagian (yang kekurangan pada) fardhunya, ditampung oleh amalan-amalan sunatnya."

Kemudian, dinilai keseluruhan amalan-amalannya sedemikian rupa.

[HR Abu Dawud, an-Nasaei, at-Tirmizi, dll. al-Arnauth: Sahih]

Bagaikan satu bekas besar yang kosong, kemudian diisi dengan bongkah-bongkah besar yang sekiranya bongkah-bongkah itu sempurna sifatnya, ia dah memadai bagi memenuhi bekas tersebut. 

Namun sekiranya bongkah itu ternyata mempunyai kekurangan, terdapat retak atau malah bentuknya tidak sempurna; maka dicari dari simpanan, biji-biji atau manik-manik halus bagi menutup ruang-ruang tersebut.

Bayangkan jika ada yang berusaha mengisi bekas kosong itu mendahulukan bijian atau manik halus, kemudian baru mengisi bongkah dalam keadaan dasarnya tidak lagi rata; atau lebih mengelirukan hanya bijian atau manik itu menjadi keutamaan untuk mengisi bekas tersebut. 

Lihat di sekeliling kita bagaimana segelintir insan merasakan apa yang bersifat tiang utama dan dilabel wajib, dilihat kurang menarik berbanding yang sifatnya penghias, menambah nilai dengan label sunat. 

Sunat Dhuha konsisten berbanding solat fardhu. Puasa sunat terasa ringan, tapi puasa ganti ditangguh-tangguh. Zikir ma'tsurat tertentu lebih dilazimi berbanding bacaan al-Quran. Paling ketara di bulan Ramadhan, Tarawih tak tinggal berjemaah, tetapi solat fardhu? 

Mana yang sunat? Mana yang harus? Mana yang wajib? Mana yang utama? Mana yang sekadar tambah nilai? 

Atau ada sesiapa yang meyakini ada amalan sunat yang ganjarannya lebih besar dari yang wajib?
__
صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
@BroSyariefShares << KLIK & SERTAI

No comments:

Post a Comment