Wednesday, October 28, 2015

SOLAT DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

“Untuk mengubah dunia kita mesti mengubah manusia. Untuk mengubah manusia kita mengubah hati dan untuk mengubah hati, kita perlu memperbaiki solat”

Natijah kesempurnaan solat itu akan terpancar kepada keperibadian seseorang individu. Sama ada baik atau buruk akhlaknya, taat atau ingkar tingkah lakunya secara sedar atau tidak adalah cerminan dari kesempurnaan solat yang telah dilakukan. Sebab itu Allah SWT sendiri telah meletakkan neraca ukuran kepada keperibadian manusia melalui solat sebagaimana firman Allah SWT; Maksudnya: “Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. - Surah al-Ankabut: 45

Muhasabah solat
Ramai dikalangan umat Islam memandang ringan tentang kewajipan solat. Mungkin ADA PULA YANG BERSOLAT TETAPI HANYA SEKADAR ADAT. Iaitu sekadar memenuhi syarat atau sebagai ikutan adat kebiasaan yang telah diwariskan oleh generasi sebelumnya turun temurun yang dilakukan secara berulang-ulang. Tanpa penghayatan, tidak menampakkan kesungguhan, keikhlasan apatah lagi untuk  menghasilkan mutu solat yang terbaik. Maka tidak hairanlah sekiranya pelanggaran hukum syara’ secara terang-terangan dilakukan oleh umat Islam itu sendiri adalah terhasil dari kejahilan dalam melaksanakan tuntutan yang satu ini.

Apakah tujuan kita solat. Adakah kerana mahu diperlihatkan kepada orang lain, atau sekadar meneruskan kebiasaan amalan yang diperturunkan atau hanya memenuhi permintaan ibu dan ayah. Atau hanya ingin memperkatakannya di facebook dan twiter.Adakah kita bersolat hanya kerana tidak mahu disisihkan masyarakat atau tidak mahu dilihat ganjil oleh teman-teman atau untuk menarik orang lain memuji dan mengagumi kita. Apa gunanya solat kita jika diniatkan kepada selain dari Allah. Kita hanya menipu diri sendiri. Ibadah kita tiada nilai disisi Allah.Malah tidak mampu memberi kesan kepada jiwa.

Tanyakan pada diri apakah perasaan kita jika ditakdirkan dapat bertemu dengan penyanyi atau artis kesukaan kita? Adakah perasaan kita itu sama dengan perasaan apabila bertemu dengan Pencipta kita. Adakah perasaan kita seseronok bertemu dengan penyanyi pujaan hati?

Solat adalah masa untuk kita berinteraksi dengan Tuhan. Tapi jika solat hanya ditunaikan sekadar adat. Tidak akan terasa kemanisannya. Adakala, solat dipercepatkan kerana  rancangan kegemaran di TV menanti. Padahal keseronokan menonton TV itu tidak akan kekal. Hanya sekadar memuaskan nafsu semata. Teringat kata-kata ini: “Kita suka sangat tengok TV. Suka tengok cerita orang. Cerita kita nanti bagaimana?”

KELEBIHAN SOLAT
Sesungguhnya BERJAYALAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN, Iaitu MEREKA YANG KHUSYUK DALAM SOLATNYA; (Al-Mu'minuun 23: Ayat 1-2)

DAN DIRIKANLAH SOLAT (DENGAN TEKUN); SESUNGGUHNYA SOLAT  ITU MENCEGAH DARI PERBUATAN YANG KEJI DAN MUNGKAR;  (Al-'Ankabuut 29:45)

Kita jadikan ayat di atas sebagai asas kepada apa yang hendak kita lakukan selepas kita mematuhi perintah melakukan solat. Bagaimana solat itu dapat mencegah dari perbuatan mungkar? Bolehkah kita lihat bukti-bukti tentangnya? Ya, JIKA KITA MENGAMBIL HUKUM-HAKAM DALAM SOLAT ITU, SAMA ADA YANG WAJIB MAHUPUN YANG SUNAT, KITA JADIKAN IKTIBAR DAN PANDUAN DALAM MENJALANI PENGHIDUPAN DI DUNIA INI, MAKA TIDAK SUKAR UNTUK MENCARI BUKTI KEBENARAN FIRMAN ALLAH YANG TERSEBUT.

Kita ambil satu contoh. Dalam solat berjemaah, makmum dilarang membaca kuat, kerana boleh mengganggu khusyuk makmum bersebelahan. Iktibar atau ibrah dari hukum ini ialah jangan membuat gangguan kepada orang lain. Jangan mengganggu jiran dengan membuat bising. Kita tidak sepatutnya membuat bising di khalayak ramai dengan apa cara sekalipun. Maka JIKA SETIAP ORANG MENJADIKANNYA SEBAGAI TATACARA HIDUP, AKAN TERBINA SEBUAH MASYARAKAT YANG AMAN TENTERAM. Barulah dikatakan hidup kita telah memberi manfaat kepada orang lain, barulah dikatakan solat itu mencegah kita dari perbuatan mungkar. Semoga mendapat rahmat dari solat kita.

Banyak juga fenomena dalam masyarakat kita yang kita lihat baik tetapi kita sandarkan itu kepada disiplin yang lahir dari buku selain al-Quran dan hadis. Kita lihat itu adalah etika hidup ciptaan orang putih dan sebagainya.Contohnya, orang ramai yang beratur mengambil giliran untuk membayar di kaunter-kaunter jualan, ramai yang melihatnya sebagai etika orang putih, orang barat. Kita dilihat sebagai meniru-niru budaya mereka kerana itu budaya yang baik.  Tetapi mengambil pengajaran dari mereka itu tidak mendapat apa-apa, tidak ada pahala. Harus sahaja. Paling tidak wajar ialah jika kita banyak menyandarkan segala yang baik itu kepada etika yang kita lihat dari barat. Sebenarnya etika tersebut ada dalam bab solat kita.

Ada hukum dalam solat yang boleh menjadi sandaran kepada sikap beratur sebegitu. Contohnya, dalam bab solat, ada menyebut aturan bagaimana cara kita membina saf. Misalnya disebut, orang yang pertama masuk saf hendaklah berdiri di belakang imam, ke sisi kanan sedikit. Orang kedua masuk ke sebelah kiri orang pertama tadi. Orang ketiga pula masuk ke sebelah kanan orang pertama tadi, dan seterusnya, sehingga membentuk saf. Setiap orang yang ingin bermakmum, sunat mengikuti prosedur ini. Apakah wajar orang kedua tadi menolak orang pertama ke sisi kiri, dan dia mengambil tempatnya? Orang ini bertindak begitu kerana ingin mendapat pahala lebih. Pahala dalam saf. Disebutkan di sini, pahala yang paling besar bagi makmum ialah di tempat orang yang pertama tadi, kemudian orang yang kedua, dan yang ketiga. Tindakan orang kedua menolak orang pertama ke kiri tadi bertujuan untuk mendapat kelebihan ini. Tetapi adakah wajar? Maka amatlah baiknya jika panduan membuat giliran dalam solat ini kita terapkan dalam segala urusan yang berkaitan dalam kehidupan seharian kita.Jika ini kita jadikan panduan membuat giliran dalam segala urusan, maka roh solat telah diterjemahkan dalam menjalani kehidupan seharian.

Kesimpulannya segala hukum-hakam dalam solat wajar dijadikan ikhtibar dan panduan atau sebagai etika hidup.Sekiranya kita terapkan roh solat itu dalam kehidupan seharian, ianya akan memberikan impak yang posiitf terhadap sikap kita serta mampu membentuk tingkah laku yang baik. Dengan ini maka terbuktilah bahawa solat itu mencegah kita dari perbuatan mungkar. Banyak lagi hukum-hakam dalam solat yang dapat diterjemahkan  ke dalam kehidupan kita dan mampu memberikan  impak positif ke atas diri kita.

IBRAH DARI SOLAT

Antara lainnya :-

Disiplin :
Disiplin ertinya peraturan. Orang yang solat akan sentiasa mematuhi syarat, rukun dan sunat dalam solat.Dia akan mendahului dan mengutamakan yang wajib daripada yang sunat. Kesemua rukun solat dipatuhi. Yang dahulu, di dahulukan. Dengan itu hidupnya akan teratur. Solat juga mengajar kita agar sentiasa fokus dalam kehidupan.

Kepatuhan:
Solat mengajar kita tentang kepatuhan kepada Allah, kepada Rasul, kepada imam. Dalam solat jemaah, ada konsep kepatuhan yang jelas. Yakni tidak boleh terlalu tertinggal (dua rukun fi'li) daripada imam.

Kepimpinan :
Siapa yang menjadi pemimpin, perlu prihatin dengan keadaan orang yang dipimpin. Tidak boleh memberatkan solat dengan memanjangkan bacaan (jika ada orang tua, sakit dan ibu-ibu). Teguran terhadap imam mesti bersopan dan beradab dengan bahasa yang paling baik, yakni kalimah "subhanallah"(bagi makmum lelaki). Ertinya menegur mesti dengan niat kerana Allah. Imam yang ditegur pula hendaklah segera membaiki kesalahan itu. Jika tidak, makmum boleh mufarakah.

Penyucian dan kebersihan :
Untuk solat mesti membersih dari hadas kecil dan besar serta najis. Kita berwuduk dengan membasuh hujung-hujung anggota. Pakaian, tempat sujud mestilah bersih dan suci. Bila berwuduk dosa kecil diampunkan. Hati kita mesti bersih daripada selain Allah. Begitu juga dalam kehidupan seharian kita. Hendaklah sentiasa menjadikan kebersihan sebagai amalan.

Penjagaan dan pengurusan masa :
Sentiasa mengawasi masuknya waktu. Walau sesibuk mana pun urusan seharian, kita tidak boleh lalai, hingga terluput waktu. Ada lima waktu solat yang dengan menjaganya akan  terjagalah masa kita daripada perbuatan yang sia-sia. Kerana itulah pengurusan masa (time management) amat penting dalam kehidupan.

Kerjasama kumpulan dan perpaduan :
Gerak serentak semasa menjadi makmum. Saf yang lurus, rapat antara bahu dan tumit adalah lambang perpaduan.

Mengawal Diri:
Orang yang solat sentiasa mengawal hati, pemikiran, perasaan dan anggotanya agar tidak membuat kerja selain yang menjadi rukun qauli, qalbi dan fi'li. Jika ada membuat gerakan besar tiga kali berturut, maka solatnya boleh terbatal. Jika fikiran dan hatinya melayang maka ingatan, hubungan dan munajatnya dengan Allah akan terganggu. Jadi ia akan terus berusaha untuk mengawal diri dalam solat dan di luar solatnya.

Amanah:
Seseorang itu tidak akan solat isya 3 rakaat jika solat bersendirian.Kerana dia tahu Allah ada memerhati. Inilah sikap amanah yang di tuntut dalam solat.maka dalam pekerjaan juga kita tidak boleh mencuri tulang dengan memendekkan waktu bekerja walaupun ketika bos tiada.

Tidak menangguh atau menunda pekerjaan:
Solat pada awal waktu adalah lebih afdal sekiranya tiada maslahat-maslahat lain yang ingin dicapai seperti ingin meramaikan jemaah bagi solat subuh, memperbanyakkan solat sunat sebelum solat Asar, membolehkan qiamullail sebaik selepas solat isyak dan menunggu sejuk bahang matahari sebelum solat zuhur. Tambahan pula, dibimbangi tidak sempat menunaikan solat jika kematian menjelma secara tiba-tiba disebabkan melewatkannya. Begitu juga dalam kehidupan. Sebagai contoh, bila kita membuat pinjaman bank. Jangan menangguh pembayaran kerana lambat laun kita tetap perlu membuat pembayaran. Jika lewat, kita akan didenda dan hanya akan merugikan diri kita.

Mengucap perkataan yang baik:
Dalam solat kita sentiasa menyebut kalimah yang baik. Tiada satu pun bacaan yang tidak baik dalam solat. Maka di luar solat juga kita perlu sentiasa mengucapkan perkataan yang baik.

Tawaduk:
Ketika sujud, kita meletakkan diri pada tempat yang paling rendah. Solat mengajar kita sifat tawaduk  (merendahkan diri, tidak angkuh atau sombong). 

Jadi bayangkanlah apa akan terjadi jika kita tidak beretika seperti di atas? Sesuatu yang buruk boleh tercetus, dan ini disebut sebagai kemungkaran. Apakah erti kemungkaran? Secara umum, boleh dikatakan bahawa setiap perbuatan atau tingkah laku yang tidak disenangi oleh orang lain, adalah kemungkaran.


Jadi cara kita menjalani hidup harus disandarkan kepada satu pakej etika yang mampu mengelakkan berlakunya kemungkaran. Islam sebagai ad-Deen, kita beriman kepadanya, maka jadikanlah solat sebagai sumbernya. Jika ini dapat diamalkan secara konsisten, maka rahmat Allah akan datang. Jika keseluruhan cara hidup kita, kita sandarkan kepada hukum-hakam dalam solat umpamanya, maka kita akan menjadi muslim yang diredai.

Saturday, February 21, 2015

MENGHAYATI ERTI REZEKI ALLAH

Perkataan al-Rizq atau melayu sebut rezeki bermaksud pemberian ataupun kurniaan samada bersifat duniawi ataupun agama. Segala yang boleh dimanfaatkan, samada yang boleh dimakan ataupun tidak boleh dimakan maka itu rezeki.

Ertinya segala yang kita miliki dari perkara yang bermanfaat ataupun memberikan kebaikan buat kita samada di sudut keperluan dunia semata ataupun untuk agama maka itu adalah kurniaan ataupun rezeki. 

REZEKI BUKAN SAHAJA MINUMAN, MAKANAN, HARTA, KENDERAAN DAN SEGALA RUPA BENTUK KEBENDAAN SEMATA, REZEKI JUGA ILMU PENGETAHUAN, KASIH SAYANG, KEBAHAGIAAN, KELUARGA, ANAK, ISTERI, KESIHATAN, KESELAMATAN, KEGEMBIRAAN DAN SEUMPAMANYA

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"
(Ar-Rahmaan 55:13)

Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.
(Al-Hijr 15:98)

Agama tidak menyuruh kita duduk saja tanpa berusaha mencari rezeki. Tiada dalam Islam bertawakkal tanpa berusaha. Nabi s.a.w menyebut:

“Jika kamu bertawakkal kepada Allah benar-benar tawakkal nescaya Allah merezekikan kamu seperti DIA merezekikan burung. Burung keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dll, sahih).

Ada pihak cuba gunakan hadis ini untuk tidak berusaha atas alasan Allah akan berikan rezeki seperti burung. Itu fahaman yang salah. Hadis ini menceritakan bahawa selepas benar-benar tawakkal, seseorang hendaklah seperti burung yang keluar dari sarangnya pada awal pagi mencari rezeki dan akhirnya pulang kekenyangan. Burung tidak tidur dalam sarangnya tanpa usaha. Demikianlah muslim dengan rezekinya. Alam ini ada peraturan dan percaturan, seseorang hendaklah berusaha. Usaha itu adalah ibadah. 
- Dr Maza-

http://drmaza.com/home/?p=2663

Sunday, February 8, 2015

TUJUAN HIDUP MANUSIA

APAKAH TUJUAN MANUSIA DICIPTA

Persoalan yang sering bermain di hati ialah mengapa manusia yang serba kekurangan dan kelemahan ini dicipta? Apakah tujuan penciptaan manusia?

Segala puji bagi Allah s.w.t, Tuhan yang mencipta dan mentadbir seluruh alam dan selawat dan salam atas Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Allah s.w.t ialah Tuhan yang menjadikan kita dan seluruh makhluk alam zahir dan ghaib. Alam zahir terdiri daripada manusia, haiwan di bumi dan lautan, tumbuhan, langit, bumi, bulan, bintang, matahari dan seluruh cakerawala di alam atmosfera ini. Manakala alam ghaib terdiri daripada para malaikat, alam jin, alam barzakh (kubur), alam akhirat, syurga, neraka dan seluruhnya yang tidak kita ketahui.

Setiap kejadian yang berlaku di bumi, di langit dan di alam ghaib juga segala-galanya adalah kejadian Allah s.w.t. Kenapa manusia diciptakan? Apa tujuan manusia diciptakan? Inilah yang menjadi persoalan di hati manusia yang ingin memahami hakikat sebenar tujuan penciptaannya.

Antara tujuan manusa diciptakan di muka bumi adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Ini terbukti dengan firman Allah s.w.t dalam surah  Adz-Dzaariyaat ayat 56 yang bermaksud  “ Tidaklah aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah (beribadat) kepada-Ku”

Merujuk ayat ini, kita semestinya sedar bahawa hakikat yang sangat besar tentang kewujudan manusia tidak lain tidak bukan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t semata-mata. Juga dapat difahami, kita diciptakan dan dihidupkan di muka bumi ini bertujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t secara menyeluruh dengan merangkumi seluruh aspek dan gerak kerja dalam kehidupan. Ini bermakna setiap perlakuan, pekerjaan yang dilakukan, apa jua bidang yang kita ceburi hendaklan disandarkan dengan niat untuk beribadah kepada Allah s.w.t

Beribadah kepada Allah s.w.t merupakan hakikat fitrah seorang manusia diciptakan. Allah s.w.t telah mengambil perjanjian dengan manusia semasa awal fitrah kejadiannya lagi. Firman-nya dalam surah Yasin ayat 60 dan 61 yang bermaksud : “Bukankah Aku telah mengambil perjanjian (perintahkan) kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya, ia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan) : “ Hendaklah kamu menyembah-Ku, inilah jalan yang lurus”. Ini bermakna setiap manusia telah berjanji dengan Allah s.w.t untuk beribadah kepada-Nya. Oleh itu, apabila manusia lalai daripada menunaikan hak janjinya kepada Allah s.w.t, dia telah menempah kemurkaan Allah s.w.t. Maka manusia seperti ini tidak akan terlepas daripada menerima balasan Allah s.w.t di akhirat kelak.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN BAHAWA MANUSIA ITU KHALIFAH DI MUKA BUMI INI?

Khalifah bermaksud wakil atau pengganti. Maksud di sini ialah manusia sebagai orang yang memakmurkan bumi ini. Sebagai manusia, kita adalah khalifah di muka bumi ini dengan memakmurkannya berlandaskan syariat Allah, menjalankan setiap perintah atas hukum-Nya dan Islam. Sebaiknya, kita tidak menggunakan perkataan “khalifah Allah” kerana Allah sama sekali tidak memerlukan pengganti. Kita hanyalah pengganti kepada orang yang terdahulu daripada kita sahaja.

Islam adalah agama yang sempurna dan perlaksanaannya menyeluruh dalam semua aspek dan bidang kehidupan. Sebagai khalifah atau penguasa bumi, kita hendaklah melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh dalam diri, keluarga, masyarakat, setiap usaha dan ikhtiar, dalam negara bahkan di seluruh pelosok bumi. Dalam melaksanakan tugas ini bergantung pada kedudukan diri kita sebagai khalifah ataua penguasa dalam apa jua bidang pun. Umpamanya BAGI DIRI SENDIRI, kita adalah khalifah yang wajib mentadbir diri mengikut syariat Allah dari segi aqidah, ibadah, akhlak diri, usaha dan muamalat sesama manusia. Jika kita berkeluarga, kita khalifah dalam rumahtangga kita sendiri dan wajib mentadbirnya menurut syariat Allah. Pendidikan, cara hidup anak isteri dan sebagainya perlulah dipandu berdasarkan hukum bukan mengikut peraturan ciptaan manusia.

Begitu Firman Allah s.w.t dalam surah Al-‘Alaq ayat 6 dan 8 yang bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (ingatlah) seungguhnya kepada Tuhanmu tempat kembali (untuk menerima balasan)”

Wallahu a’lam

Ustaz Dr. Abd Basit Abd Rahman (Abu Anas Madani)
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2


KITA SEMUA ADALAH PEMIMPIN

Daripada Ibnu Umar R.huma daripada Nabi SAW sabdanya, “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”.

Sekalipun kita tidak menjadi pemimpin pada setiap organisasi atau pemimpin dalam masyarakat, kita tetap seorang pemimpin. Kita adalah pemimpin kepada DIRI KITA dan setiap anggota-anggotanya.

Kita memimpin akal kita dan bertanggung jawab pada apa yang kita fikirkan dan kita putuskan dalam hidup. Kita memimpin hati kita dan bertanggung jawab pada bisikan-bisikannya. Kita memimpin mata kita dan bertanggung jawab pada apa yang kita lihat.

Kita memimpin telinga kita dan bertanggung jawab pada apa yang kita dengar. Kita memimpin mulut kita dan bertanggung jawab pada apa yang dikatakan dan apa yang kita makan.

Kita memimpin tangan kita dan bertanggung jawab pada apa yang kita lakukan. Kita memimpin kaki kita dan bertanggung jawab pada setiap langkah kita.

Kita juga adalah pemimpin ke lingkungan yang kita lalui setiap saat dan bertanggung jawab pada setiap reaksi yang kita berikan. Inilah sikap yang jika dipraktikkan, akan membuat diri seseorang itu lebih bertanggung jawab dan tidak mudah untuk menyalahkan orang lain.

Dan kita sebagai pemimpin bagi diri sendiri, haruslah ingat, bahawa suatu saat semua tanggung jawab kepemimpinan ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

http://www.academia.edu/3697827/PENCIPTAAN_MANUSIA_SEBAGAI_PEMIMPIN
http://www.islam.gov.my/en/e-hadith/kita-semua-adalah-pemimpin

Wednesday, February 4, 2015

BELAJARLAH ‘MELEPASKAN’…

Insan yang kuat itu ialah apabila hatinya hancur, berderai tanpa mampu dicantumkan semula, dia berusaha untuk bangun kembali, berdiri teguh menjalani kehidupan yang penuh ranjau dengan senyuman yang indah.. Bukan untuk menunjukkan dirinya kuat, tetapi kerana dia memujuk hatinya yang lara bahawa keyakinannya, kepercayaannya dan takdir hidupnya semuanya dalam genggaman yang Maha Mengetahui dan Maha Penyayang..

Orang yang membuatkan kita marah, hampa, kecewa, merajuk dan berkecil hati, umpama patukan ular.Patukannya hanya sekali! Tetapi bisanya menjalar ke seluruh tubuh, kita mati bukan kerana patukan ular, tetapi kerana bisanya yang meracuni tubuh kita.Demikian jugalah orang yang berbuat salah dengan kita, dia menyakitkan hati kita hanya sekali. Adakah kita akan membiarkan emosi marah kita itu, terpendam dalam hati kita sekian lama, bagai racun yang membinasakan kehidupan kita?”

Ingatlah, kita tak mungkin dapat mengubah sikap malah hati orang lain. Tapi kita boleh berusaha agar hatinya malah sikapnya berubah menjadi lebih baik. Usaha bermaksud laksanakan tindakan yang perlu berserta doa mohon yang terbaik daripada-Nya. Ingat! Hati kita, hati orang lain juga... hanya dipegang oleh Allah SWT. Hanya Allah mampu berikan keputusannya.

Kita harus belajar 'MELEPASKAN' dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Jangan terus terikat, terkenang atau cuba mengawal segalanya, kerana kita hanya HAMBA. Setelah berusaha, jangan diikat hati kita padanya. Ikatlah hati kita hanya pada Allah.

Ingatlah , kita perlu hidup untuk hari ini; bukan untuk hari semalam yang telah kita tinggalkan malah bukan juga untuk hari esok yang masih berbalam. Namun semalam itu sewajarnya dijadikan sebagai panduan; bukan kenangan membunuh kesatriaan dalam diri.Sebaliknya sebagai penyemarak semangat untuk terus melangkah pada hari ini bagi mencipta sesuatu yang lebih baik pada esok hari.

Jangan dipertikaikan kenapa kita, Allah lebih tahu yang terbaik untuk hambaNya. Allah tak akan beri kita pahit, kalau bukan ubat. Kekadang kita diuji kenapa tak berkasut,Tetapi kita lupa ramai orang diuji tak berkaki.

Allah turunkan ujian pada semua walaupun kita tidak pernah memintanya.Sebaliknya semua orang meminta hidup yang tenang tetapi tidak semua orang akan mendapatnya. Situasi yang kita hadapi atau ujian dari Allah mungkin berbeza-beza. Allah mengetahui tahap kemampuan setiap hambaNya.Situasi yang kita hadapi atau alami bukanlah penentu.Tapi respons kita terhadap situasi itulah yang penting dan menjadi penentu.. samada apakah kita melaluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan, melalui keimanan  atau penuh kemarahan  atau melalui pintu-pintu syaitan... .

Allah lebih mengenali hamba ciptaanNya. Yakinlah, boleh jadi kita menyukai sesuatu tetapi ia tidak baik bagi kita. Boleh jadi kita tidak menyukai sesuatu tetapi ia amat baik untuk kita.  

- dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.(Al-Baqarah 2:216) -

Apabila kita REDHA pada sesuatu yang mengecewakan HATI kita, maka percayalah ALLAH TAALA akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangka

Allah menguji dengan sesuatu yang kita sayang agar kita akur segalanya milik Allah. Agar kita senantiasa ingat kecintaan kita kepada Allah diatas segalanya, agar kita tidak meletakkan kasihsayang melebihiNya. Agar kita hanya bergantung harap padaNya.

Belajarlah melepaskan... Ketika bertembung dengan halangan yang sukar, atau setelah segala usaha telah menemui jalan buntu,serah dan pasrahlah kepada kekuatan Allah. Binalah harapan dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Pada detik itulah selalunya terbuka jalan,terserlah penyelesaian. Let go, let GOD! Allah Knows Best!