Showing posts with label PMJ. Show all posts
Showing posts with label PMJ. Show all posts

Monday, April 7, 2014

RENUNGAN

Manusia hidup, bukan sekadar hidup-hidupan
Tidak seperti serangga, tumbuh-tumbuhan
dan lain-lain yang hanya hidup-hidupan.
Oleh itu amat penting sekali kita pastikan 
benar-benar apa visi dan misi hidup kita ini.

- Buku Mukmin Professional -

Ada 'haiwan' dalam kelompok manusia, tetapi tidak ada manusia dalam kelompok haiwan

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Adz-Dzaariyaat 51:56)

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.   (Al-A'raaf 7:179)


Friday, June 28, 2013

NERAKA ITU SIKSA

Jika hati keras dipujuk dosa
Kenangkan seketika seksa neraka
jurang dalam hitam yang menyala
sumur nanah dan telaga bisa
jilatan membakar kobaran menggila
kau takkan tega di sana

Jika jiwa gelap dibujuk mazmumah
sentuh kulitmu yang tipis
mampukah kiranya menahan cairan besi
dapatkah ia bertahan di relau nan membuak
panas...panas...panasnya
70 ganda berbanding api dunia

Jika dirimu liar dirasuk nafsu
bayangkan kau dipasung jahannam
teriak, tangis dan dengus berapi
dihembus dari lidah yang hangus
nafas berasap dan kau tercungap
hampir mati, kau dihidupkan kembali
begitulah....berulang kali

Teman....
Bayangkan laut itu neraka
Bayangkan udara ini bara
Bayangkan bumi seluruhnya api
Kayu-kayuan, pepasir dedaun sepanas mentari
Balasan penghuninya yang berdosa
Maya pada ini bertukar menjadi neraka

Bayangkan...
Neraka itu lebih dasyat
Daripada apa yang dapat kau bayangkan
Marilah kita terima kesukaran ini
Demi mencapai kesenangan abadi
Biarlah bersusah di dunia yg sementara
Asalkan tak terjun ke neraka yang selamanya!

(Buku Di Mana DIA Di Hatiku)

Thursday, May 23, 2013

MEMBACA - SALAH SATU SUMBER ILMU

Siapa diri kita akan datang, akan dicorakkan oleh buku apa yang kita baca sekarang.

Membaca adalah anak kunci pengetahuan. Ilmu boleh dimiliki dengan membaca. Mulakan membaca walaupun dengan kadar yang sedikit.

"When you stop learning, you stop leading-apabila kita berhenti belajar, kita berhenti memimpin.Setiap kita adalah pemimpin, sekurang-sekurangnya pemimpin kepada diri sendiri. Ingat selalu "leaders are learner-pemimpin adalah orang yang sentiasa belajar."

Ilmu yang dimiliki tetapi tidak diamalkan samalah seperti meletakkan pelita di atas atap. Apa hasilnya? Ruang dalam rumah tetap gelap kerana cahaya hanya tersebar di atas atap.

Ingatlah kata-kata hukama:  Orang yang berjaya ialah orang yang hari ininya lebih baik daripada semalam. Orang yang terpedaya ialah orang yang hari ininya sama seperti semalam. Dan orang yang celaka ialah orang yang hari ininya lebih buruk daripada semalam.

Maka sentiasalah berusaha memperbaiki diri dgn ilmu. Kita akan sentiasa berubah, sama ada menjadi orang yang lebih baik atau sebaliknya. Jika kita tidak menaik, kita pasti sedang menurun.

Dari buku Buku Mukmin Profesional : Celik Mata Hati (Ustaz Pahrol Mohamad Juoi)






Manfaatkanlah persamaan dan matanglah dalam menguruskan perbezaan.


Berbeza pandangan tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah manusia. Selagi kita manusia, selagi itulah kita berbeza. Itu satu ketetapan daripada Allah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. 

Namun, yang menjadi masalah ialah sikap manusia dalam menghadapi perbezaan. Padahal perbezaan tidak semestinya satu pertentangan, jika diuruskan dengan baik, yakni dengan sikap lapang dada, saling menghormati dan paling penting ikhlas kerana Allah. 

Manfaatkanlah persamaan dan matanglah dalam menguruskan perbezaan.
- Ustaz Pahrol Mohamad Juoi-

Alam ini adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar


Alam ini adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.

Fahamilah ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku keatas kita. Jika tidak, maka terpaksalah kita mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui individu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.

Ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang.

Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti kita akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan
http://genta-rasa.com/2011/03/07/frust-dalam-bercinta/#more-1318

Kaya atau Miskin Bukan Penentu Kejayaan



Kaya atau miskin bukan penentu kejayaan.

“Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita… 
Allah baru menguji kita. Bila Allah berikan kemiskinan..
 bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita
 tetapi sebaliknya Allah sedang menguji kita.

Situasi ujian yang dihadapi manusia adalah berbeza. Justeru, yang menentukan suatu kejayaan bukan situasi tetapi RESPONS HATI ketika menghadapi situasi itu.

Ujian tidak akan menghina atau memuliakan kita tetapi reaksi atau respons kita terhadap ujian itulah yang memuliakan atau menghinakan kita.  Yang sabar dan syukur, jadi mulia… 
lalu mereka berjaya. Yang putus asa dan takbur, 
jadi hina… lalu mereka gagal.
http://genta-rasa.com/2012/12/31/all-is-well-semuanya-baik-belaka/#more-2369

Kenanglah Saat Berpisah...

Kata Hukama: “Beramallah ketika berada di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi ada peluang beramal (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada peluang beramal (akhirat).”

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali

“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.” Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. 

Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. 

“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.” Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat.

Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya.. Syurga!

http://genta-rasa.com/2009/07/31/kenangkanlah-saat-berpisah/#more-512



Sunday, April 7, 2013

Di Mana DIA di hati ini...


Apabila seseorang mencintai Allah, maka Allah akan mencintainya. Dan apabila seseorang dicintai Allah, maka hidup dan matinya akan dipermudahkan oleh Allah. Seluruh energi alam akan menyebelahinya. Di dalam hadis qudsi, Allah swt berfirman:


“Jika Allah mencintai seorang hamba maka Allah akan berkata, “Wahai Jibrail, Aku mencintai seorang hamba maka cintailah dia. Kemudian Jibrail memanggil penduduk langit dan berkata, “sesungguhnya Allah mencintai sifulan maka cintailah dia.” (musnad Imam Ahmad dari Abu Hurairah).

*******************************

Orang yang sedang mabuk bercinta.. bila mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang, yang busuk terasa wangi, asyik teringat-ingat akan orang yang dicintainya. Begitulah umpama mabuk cinta Illahi, dia akan sentiasa mengingati Allah, munajat doa dijadikan pelerai rindu, segala musibah yang menimpa dirasakan terbaik untuknya, sangat tenang dan bahagia hatinya biarlah tiada dapat yang lain asalkan dapat cinta ALLAH.

Ya Allah, aku tahu aku belum mencintaiMu sepenuh hatiku sebab hatiku masih terpaut pada dunia, aku masih risau perihal rezekiku, aku masih risau kemana jalan masa depanku, aku masih bergantung harap pada manusia sedangkan hati manusia itu Engkau yang pegang, tambahkanlah keyakinan ku akan kebesaran Mu Ya Allah..

Sesungguhnya aku hanyalah seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-Nya…”

Belum ada DIA di hati ku, hidup ku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari dengan langkah mujahadah ini. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunan-Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan-Nya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat.



"Teruslah berusaha sedaya upaya untuk meraih cinta Allah.. Walaupun amat sukar tetapi itulah satu-satunya jalan ke arah keselamatan, ketenangan dan kebahagiaan. Sekalipun tidak sampai, tidak mengapa… asalkan kita telah menempuh jalannya. Allah sesungguhnya menilai apakah kita ‘sudah berjalan’.. bukan pada apakah kita ‘sudah sampai’". 


Jika ingin mati di jalan Allah..sibukkanlah diri di jalanNYA..



Analogi Lori Pasir Berlanggar....
Jika lori berisi pasir berlanggar, yang akan terkeluar dan berselerak ialah pasir. Sebaliknya jika lori sampah, sampahlah yang akan berterabur dan tersembur keluar.

Samalah seperti manusia. Manusia yang lidah, hati dan dirinya sentiasa dipenuhi dengan zikrullah, maka kalimah zikir itulah yang akan terluncur keluar bila tiba saat kematiannya. Sebaliknya jika perkara-perkara kotor yang ada dalam dirinya, maka perkara itulah yang akan tersembur keluar di saat kematiannya. Takkanlah lori sampah akan mengeluarkan pasir apabila berlanggar?  

Kata-kata Imam Al Ghazali - Cara mati kita ditentukan oleh cara hidup kita. 

Oleh itu tentulah hanya orang yang sering ke masjid terpilih untuk mati di masjid. Dan orang yang konsisten solat sahaja yang besar kemungkinan mati dalam keadaan bersolat. Namun adakah mati dalam keadaan baik atau sebaliknya itu lebih utama?

Yang lebih utama adalah... menentukan cara hidup yang baik. Siapa yang hidup cara baik akan mati baik. In shaa Allah


Saturday, March 16, 2013

KESULITAN DALAM BERMUJAHADAH




Dalam hidup ini, manusia akan berhadapan dengan dua perkara:

Pertama, perkara yang PERLU dilakukan.
Kedua, perkara yang SUKA dilakukan.

Dan sudah menjadi sunnatullah, KEDUA-DUA perkara itu SALING bertindak BERTENTANGAN. Biasanya perkara yang PERLU kita lakukan adalah perkara yang TIDAK SUKA kita lakukan. Dan perkara yang kita SUKA lakukan adalah perkara yang TIDAK PERLU kita lakukan. Renung-renungkanlah...

Contohnya, solat subuh. Bila hampir masuknya waktu subuh, perkara yang perlu kita lakukan ialah bingkas bangun, membersihkan diri, bersuci dan terus berwuduk. Itulah antara perkara-perkara yang perlu kita lakukan. Namun, apakah perkara yang kita suka lakukan?

Ya, diikutkan rasa, kita suka untuk terus tidur dan bersenang-senang. Subuh itu sejuk, gelap, nyaman… waktu yang paling enak untuk menyambung tidur. Bangun subuh ialah perkara yang perlu, manakala terus tidur ialah perkara yang kita suka buat.

Yang mana satu lebih baik? 
Tentulah solat itu lebih baik daripada tidur. 
Tapi apa yang NAFSU inginkan? 
Jawabnya, tidur!

Jadi lawanlah nafsu....dan bingkas bangun.

Untuk melakukan perkara yang perlu dibuat walaupun kita tidak suka membuatnya, menagih ketabahan, keberanian dan istiqamah [konsisten].

Untuk berjaya, mujahadah itu perlu. BerMUJAHADAH ertinya 'BERPERANG' dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh HAWA NASU. Hawa nafsu yang hanya inginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan kebaikan, peringatan dan ketaatan. Menentang hawa nafsu, samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Ini yang menyebabkan satu mujahadah selalu patah. Atau belum pun bermujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diri untuk “disakiti”

Manusia berasa terlalu sulit, payah dan susah dalam bermujahadah di jalan Allah. Namun, ingatlah mujahadah itu pahit, kerana syurga itu manis.“Syurga dipagari dengan kesusahan, manakala Neraka dipagari oleh keseronokan.”

Sesungguhnya, jalan mujahadah itu adalah jalan kita. Di jalan itu, sering berlaku dialog dalam diri. Apabila susah melanda, kita merintih. Apabila godaan mendatang, kita cuba bertahan. Apabila nikmat menjelma, kita lega tetapi tidak lama, sukar pun datang mencabar, kita cuba sabar. Ingat selalu, untuk berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang PERLU kita buat walaupun kita tak suka. Tidak ada pilihan, Tidak ada jalan pintas, tidak ada jalan singkat. Tidak ada keajaiban melainkan PERLU MENEMPUH jalan susah.PAKSA DIRI untuk melakukannya! Lawan godaan dan ransangan yang menggamit hati kita untuk melakukan perkara yang suka dilakukan. Lakukanlah perubahan dalam diri. Ingatlah, untuk mendapat ubat, orang boleh beri ubat.. tetapi untuk merasai kepahitan dan kemujaraban ubat, kita kenalah merasainya sendiri..

http://genta-rasa.com/2011/07/04/mahar-sebuah-syurga/