Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Sunday, February 8, 2015

KITA SEMUA ADALAH PEMIMPIN

Daripada Ibnu Umar R.huma daripada Nabi SAW sabdanya, “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”.

Sekalipun kita tidak menjadi pemimpin pada setiap organisasi atau pemimpin dalam masyarakat, kita tetap seorang pemimpin. Kita adalah pemimpin kepada DIRI KITA dan setiap anggota-anggotanya.

Kita memimpin akal kita dan bertanggung jawab pada apa yang kita fikirkan dan kita putuskan dalam hidup. Kita memimpin hati kita dan bertanggung jawab pada bisikan-bisikannya. Kita memimpin mata kita dan bertanggung jawab pada apa yang kita lihat.

Kita memimpin telinga kita dan bertanggung jawab pada apa yang kita dengar. Kita memimpin mulut kita dan bertanggung jawab pada apa yang dikatakan dan apa yang kita makan.

Kita memimpin tangan kita dan bertanggung jawab pada apa yang kita lakukan. Kita memimpin kaki kita dan bertanggung jawab pada setiap langkah kita.

Kita juga adalah pemimpin ke lingkungan yang kita lalui setiap saat dan bertanggung jawab pada setiap reaksi yang kita berikan. Inilah sikap yang jika dipraktikkan, akan membuat diri seseorang itu lebih bertanggung jawab dan tidak mudah untuk menyalahkan orang lain.

Dan kita sebagai pemimpin bagi diri sendiri, haruslah ingat, bahawa suatu saat semua tanggung jawab kepemimpinan ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

http://www.academia.edu/3697827/PENCIPTAAN_MANUSIA_SEBAGAI_PEMIMPIN
http://www.islam.gov.my/en/e-hadith/kita-semua-adalah-pemimpin

Wednesday, February 4, 2015

BELAJARLAH ‘MELEPASKAN’…

Insan yang kuat itu ialah apabila hatinya hancur, berderai tanpa mampu dicantumkan semula, dia berusaha untuk bangun kembali, berdiri teguh menjalani kehidupan yang penuh ranjau dengan senyuman yang indah.. Bukan untuk menunjukkan dirinya kuat, tetapi kerana dia memujuk hatinya yang lara bahawa keyakinannya, kepercayaannya dan takdir hidupnya semuanya dalam genggaman yang Maha Mengetahui dan Maha Penyayang..

Orang yang membuatkan kita marah, hampa, kecewa, merajuk dan berkecil hati, umpama patukan ular.Patukannya hanya sekali! Tetapi bisanya menjalar ke seluruh tubuh, kita mati bukan kerana patukan ular, tetapi kerana bisanya yang meracuni tubuh kita.Demikian jugalah orang yang berbuat salah dengan kita, dia menyakitkan hati kita hanya sekali. Adakah kita akan membiarkan emosi marah kita itu, terpendam dalam hati kita sekian lama, bagai racun yang membinasakan kehidupan kita?”

Ingatlah, kita tak mungkin dapat mengubah sikap malah hati orang lain. Tapi kita boleh berusaha agar hatinya malah sikapnya berubah menjadi lebih baik. Usaha bermaksud laksanakan tindakan yang perlu berserta doa mohon yang terbaik daripada-Nya. Ingat! Hati kita, hati orang lain juga... hanya dipegang oleh Allah SWT. Hanya Allah mampu berikan keputusannya.

Kita harus belajar 'MELEPASKAN' dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Jangan terus terikat, terkenang atau cuba mengawal segalanya, kerana kita hanya HAMBA. Setelah berusaha, jangan diikat hati kita padanya. Ikatlah hati kita hanya pada Allah.

Ingatlah , kita perlu hidup untuk hari ini; bukan untuk hari semalam yang telah kita tinggalkan malah bukan juga untuk hari esok yang masih berbalam. Namun semalam itu sewajarnya dijadikan sebagai panduan; bukan kenangan membunuh kesatriaan dalam diri.Sebaliknya sebagai penyemarak semangat untuk terus melangkah pada hari ini bagi mencipta sesuatu yang lebih baik pada esok hari.

Jangan dipertikaikan kenapa kita, Allah lebih tahu yang terbaik untuk hambaNya. Allah tak akan beri kita pahit, kalau bukan ubat. Kekadang kita diuji kenapa tak berkasut,Tetapi kita lupa ramai orang diuji tak berkaki.

Allah turunkan ujian pada semua walaupun kita tidak pernah memintanya.Sebaliknya semua orang meminta hidup yang tenang tetapi tidak semua orang akan mendapatnya. Situasi yang kita hadapi atau ujian dari Allah mungkin berbeza-beza. Allah mengetahui tahap kemampuan setiap hambaNya.Situasi yang kita hadapi atau alami bukanlah penentu.Tapi respons kita terhadap situasi itulah yang penting dan menjadi penentu.. samada apakah kita melaluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan, melalui keimanan  atau penuh kemarahan  atau melalui pintu-pintu syaitan... .

Allah lebih mengenali hamba ciptaanNya. Yakinlah, boleh jadi kita menyukai sesuatu tetapi ia tidak baik bagi kita. Boleh jadi kita tidak menyukai sesuatu tetapi ia amat baik untuk kita.  

- dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.(Al-Baqarah 2:216) -

Apabila kita REDHA pada sesuatu yang mengecewakan HATI kita, maka percayalah ALLAH TAALA akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangka

Allah menguji dengan sesuatu yang kita sayang agar kita akur segalanya milik Allah. Agar kita senantiasa ingat kecintaan kita kepada Allah diatas segalanya, agar kita tidak meletakkan kasihsayang melebihiNya. Agar kita hanya bergantung harap padaNya.

Belajarlah melepaskan... Ketika bertembung dengan halangan yang sukar, atau setelah segala usaha telah menemui jalan buntu,serah dan pasrahlah kepada kekuatan Allah. Binalah harapan dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Pada detik itulah selalunya terbuka jalan,terserlah penyelesaian. Let go, let GOD! Allah Knows Best!

Monday, April 7, 2014

RENUNGAN

Manusia hidup, bukan sekadar hidup-hidupan
Tidak seperti serangga, tumbuh-tumbuhan
dan lain-lain yang hanya hidup-hidupan.
Oleh itu amat penting sekali kita pastikan 
benar-benar apa visi dan misi hidup kita ini.

- Buku Mukmin Professional -

Ada 'haiwan' dalam kelompok manusia, tetapi tidak ada manusia dalam kelompok haiwan

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Adz-Dzaariyaat 51:56)

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.   (Al-A'raaf 7:179)


Tuesday, June 25, 2013

Pada setiap butiran pasir tersembunyi hikmah


"Ada perkara yang kamu tidak sukai sedangkan perkara itu baik untukmu. Ada pula perkara yang kamu sukai sebenarnya buruk buatmu"

KISAH TELADAN UNTUK RENUNGAN

Pada zaman dahulu, terdapat seorang raja yang memerintah dengan adil. Rakyat di dalam negerinya hidup dalam keadaan aman dan makmur. Rahsia di sebalik semua ini adalah kerana raja mempunyai seorang Bendahara yang merupakan penasihat yang baik. Apa yang istimewa pada Bendahara ini, setiap kali menyelesaikan masalah rakyat dia akan berpesan bahawa segala sesuatu itu mengandungi hikmah yang tersembunyi.

Pada suatu hari, raja bermain pedang dengan adindanya dan adinda raja telah menghayun pedang dan mengenai betis raja sehingga mengakibatkan luka yang sangat dalam.

Raja merasa gusar akan niat yang terpendam dalam diri adindanya. Bagi merungkai persoalan ini raja telah memanggil Bendahara untuk menghadapnya dan menyuarakan kegusaran baginda terhadap niat sebenar adinda Raja. Bendahara meneliti setiap bicara Raja berhati-hati dan akhirnya bendahara menjawab "Perkara ini perlu penelitian yang mendalam agar kita tidak tersilap membuat hukuman. Mengenai luka itu...menurut pandangan patik, ada hikmah yang tersembunyi wahai tuanku" Bendahara cuba memisahkan antara kisah luka dengan tuduhan berat yang bersarang dalam diri Raja.

Raja murka dengan jawapan tersebut. "Baiklah, hari ini beta akan lempar bendahara ke dalam penjara, sekarang apa jawapan bendahara?" titah raja. "Sekiranya itu keputusan tuanku, patik menerimanya dan pasti ada hikmahnya" ujar bendahara. 

Maka bendahara itu dipenjarakan dan tidak lama kemudian raja telah pergi ke hutan untuk memburu, oleh sebab terlalu asyik raja terpisah dari kumpulan pengawalnya. Raja telah tersesat dan telah ditangkap oleh sekumpulan puak untuk dijadikan sebagai korban upacara pemujaan. 

Ketua pemujaan tampil untuk membuat pemeriksaan terakhir dan matanya menatap setiap inci tubuh raja. tiba-tiba dia terhenti, jelas riak wajahnya menunjukkan kekecewaan, lalu berkata "Kamu tidak boleh dikorbankan kerana padamu terdapat parut luka yang sangat hodoh.Ini tidak memenuhi syarat upacara korban kami dan kamu dibebaskan.

Alangkah gembiranya Raja tersebut dan tergetus dalam hatinya "Parut ini sudah menyelamatkan aku" Dan sebaik selamat tiba di istana, baginda terus berjumpa dengan bendahara di penjara lalu menceritakan segala terjadi.

"Benar katamu wahai bendahara yang bijaksana, disebalik luka beta ini rupanya mengandungi hikmah yang besar. Tahukah kamu.. dengan sebab luka ini beta masih hidup sekarang" Ujar Raja dengan penuh kesyukuran.

"Wahai Bendahara, luka beta ada hikmahnya, apakah hikmahnya bendahara teraniaya sehingga dipenjara?"tanya Raja bergumpal rasa bersalah.

"Wahai tuanku, memanglah patik teraniaya tapi cuba bayangkan sekiranya patik tidak dipenjara. Tentu sekali kita berdua akan ditangkap bersama untuk acara korban tersebut. Maka, tuanku akan dibebaskan kerana parut pada betis tuanku sebaliknya patik pula pasti akan dijadikan bahan korban kerana tiada kesan parut atau cela pada tubuh patik. Benarlah setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

Wednesday, May 22, 2013

Bukan semua yang disukai memberikan kesukaan akhirnya

Di sebuah perkampungan terpencil di India,tanaman dan harta benda penduduknya sering dirosakkan oleh monyet-monyet liar. Mereka perlu membanteras monyet liar agar tidak bermaharajalela.

Untuk menangkap haiwan separa pintar ini bukanlah tugas yang mudah. Namun,setelah membuat penelitian mendalam,mereka menggunakan satu kaedah unik dan berkesan.

 Mereka membuat sebuah kotak kayu lalu dipakukan ke lantai. Di bahagian atas kotak tersebut dibuatkan lubang kecil sebesar ukuran tangan monyet.Lubang itu hanya boleh dimasuki lubang kecil sebesar ukuran tangan monyet.Lubang itu hanya boleh dimasuki ketika jari-jari tangan dikuncupkan.Di dalam kotak itu diletakkan makanan. Setelah siap,kotak itu dibiarkan.

Monyet-monyet pun datang.Mereka pun menghulurkan tangan kedalam lubang tersebut untuk mengambil makanan.

Makanan digenggam dan ditarik keluar.Apa yang berlaku ialah tangan mereka tersekat kerana mereka sedang menggenggam makanan dan tak dapat memboloskan tangan dari kotak tersebut.

Pada saat inilah ketika sedang terkial-kial,penduduk kampung datang menyerbu dengan kayu keras. Mereka memukul dengan kuat monyet-monyet malang itu sehingga remuk tengkorak.Luka pada tubuh monyet sangat dalam dan darah terpercik di serata tempat.Jeritan dan raungan ialah bahasa kesakitan yang tidak dapat digambarkan.

Yang hairannya,walaupun monyet-monyet itu dipukul dan menanggung kesakitan yang tidak terperi sakitnya,monyet-monyet tersebut masih menggenggam makanan dengan kuat dan tidak mahu melepaskannya.Tangan terus terlekat pada kotak dan monyet terus dipukul sehingga mati.Cerita ini sangat menyayat hati.

Kesukaan dan keghairahan kepada makanan menyebabkan monyet tidak boleh melepaskan makanan itu walaupun sebentar untuk lari menyelamatkan diri.Kesukaan dan keghairahan itu sebenarnya yang membunuh mereka!

Namun pun demikian,hal yang sama berlaku kepada manusia yang mendakwa pintar.Begitu banyak pengalaman dalam hidup ini memberikan isyarat dan mesej yang jelas,bahawa ada perkara yang disukai dalam hidup ini tetapi ia membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.

Manusia malangnya tidak mahu melepaskan seperti perangai monyet yang tak mahu melepaskan makanan meskipun diancam bahaya. Sebaliknya mereka terus menerus membuat,mengulang-ngulang kesalahan,merasai kesan serta akibat bersama kesakitan dan menderitainya sampailah saat hancur binasa.

Ingat dan sentiasa ingat, bahawa bukan semua yang kita sukai akan memberikan kebaikan dan keseronokan pada akhirnya.




Sunday, April 7, 2013

Jika ingin mati di jalan Allah..sibukkanlah diri di jalanNYA..



Analogi Lori Pasir Berlanggar....
Jika lori berisi pasir berlanggar, yang akan terkeluar dan berselerak ialah pasir. Sebaliknya jika lori sampah, sampahlah yang akan berterabur dan tersembur keluar.

Samalah seperti manusia. Manusia yang lidah, hati dan dirinya sentiasa dipenuhi dengan zikrullah, maka kalimah zikir itulah yang akan terluncur keluar bila tiba saat kematiannya. Sebaliknya jika perkara-perkara kotor yang ada dalam dirinya, maka perkara itulah yang akan tersembur keluar di saat kematiannya. Takkanlah lori sampah akan mengeluarkan pasir apabila berlanggar?  

Kata-kata Imam Al Ghazali - Cara mati kita ditentukan oleh cara hidup kita. 

Oleh itu tentulah hanya orang yang sering ke masjid terpilih untuk mati di masjid. Dan orang yang konsisten solat sahaja yang besar kemungkinan mati dalam keadaan bersolat. Namun adakah mati dalam keadaan baik atau sebaliknya itu lebih utama?

Yang lebih utama adalah... menentukan cara hidup yang baik. Siapa yang hidup cara baik akan mati baik. In shaa Allah


Friday, November 16, 2012

Andainya Aku Pergi Dulu..

Renungkanlah ciptaan Allah...

Sedang ku bersiar di laman rumah selepas penat memerah akal fikir berkaitan urusan kehidupan sebentar tadi, sehelai daun mangga telah jatuh melayang-layang ke atas bahuku...

Terus terlintas dalam fikiranku bahawa walaupun cuma sehelai daun, pastinya Allah swt mengetahui perihal daun yang usang berwarna coklat itu. Hanya dengan kuasa Allah, ditakdirkan 'ia' gugur dari rantingnya menandakan telah tamat tempohnya hidup di bumi Allah ini. Allah itu MAHA DEKAT dan MAHA MENGETAHUI...

Ku ambil, ku belek dan ku renung sehelai daun yang masih jelas urat-urat jejala tapi ada satu lubang pada daun yang telah koyak mungkin dimakan ulat... daun yang dulunya segar menghijau hijau kini berwarna kusam dan tidak lagi mendamaikan mata memandang...

Daun itu mengingatkan diriku bahawa masa yang beredar akan menukar yang muda kepada tua..yang cantik kepada hodoh...yang gagah kepada lemah..dan yang paling pasti...yang hidup kepada mati...

Sesungguhnya daun itu memberi penuh makna padaku. Dengan statusnya 'dilahirkan' ke bumi sebagai daun, tugas menghasilkan oksigen seperti yang dipertanggungjawabkan telah dilaksanakan sebaik mungkin. Tidak mungkin sehelai daun itu menderhakai perintah Allah..., mogok tidak mahu menjalankan tugas fotosintesis...

Bayangkan apa yang terjadi jika ia memberontak tidak mahu menjalankan suruhan Allah untuk membina molekul-molekul udara yang segar..? Akan huru-hara dunia dan ramai manusia yang mati lantaran tiada kecukupan udara untuk bernafas...

Daun itu bukti nyata di hadapanku bahawa seluruh tumbuh-tumbuhan dan alam sejagat ini sentiasa tunduk dan akur pada sunnatullah dan perintah Allah... dan 'mati'nya daun, ranting, dahan, serta kawan-kawan sejenisnya yang lain tidak akan dibangkitkan lagi untuk melalui Hari Pembalasan... Mereka gugur, jatuh ke tanah, reput lalu menyebatikan diri semula dengan tanah dan mikrob yang lain...

Namun, kitaran itu tidak sama sekali berlaku pada kita yang bergelar manusia. Kita hidup, mati dan pasti dibangkitkan semula untuk Allah menyoal apakah yang telah kita lakukan dengan jawatan kita sebagai:

1) hamba-Nya

2) khalifah di mukabumi-Nya

Renung ke dalam diri...Apakah yang telah ku lakukan dengan 2 jawatan penting itu...?

Sehelai daun itu telah kembali pada ALLAH...Kita akan turut kembali pada-Nya...sebagai manusia.

Bersediakah kita....?

Wallahu a'lam...

- Syed Roslan Jaafar -

Saturday, November 10, 2012

Bersangka baik..




~♥ Jangan kau sangka seseorang yang sering menegurmu itu adalah orang yang paling bertaqwa.
~♥ Jangan kau fikir seseorang yang sering menasihatimu itu adalah manusia yang tak diuji.
~♥ Jangan kau ingat seseorang yang tegas beragama itu adalah manusia yang paling sempurna.

~♥ Hakikatnya, dia menegurmu untuk mengingatkan dirinya jua.
~♥ Dia menasihatimu untuk dirinya turut berjaga-jaga.
~♥ Dan dia bertegas dalam hal-hal agama kerana risaukan bahang api neraka.
~♥ Dia bukanlah MALAIKAT.
~♥ Dia juga MANUSIA.
~♥ Bersangka baiklah,
~♥ Dia sebenarnya punya keinginan untuk ke SYURGA...
~♥ Dia punya keinginan untuk berkumpul bersamamu di sana

Saturday, October 13, 2012

♥ Pesan Buat Diri ♥

Janganlah menghina kekurangan yang ada pada orang lain.. 
Jika kekurangan tersebut terdapat dalam akhlak dan agamanya, bantulah ia untuk memperbaikinya.. 
Dan jika kekurangannya pada fizikalnya, 
beradablah kepada yang telah menciptakannya..

Hanya di Jannah yang sempurna...


Thursday, October 4, 2012

Dari Hujung Pena...


Melangkah itu mudah..
Namun mencari arah itu yg terkadang payah
Adakalanya mencari jalan itu mudah..
Namun memahami destinasi itu yg susah
Menyusuri susur itu mudah..
Namun menuju nokhtah itu pasti mendatangkan lelah.

Dalam semua ini....
Menjaga istiqomah itu paling susah..
Payah dan lelah...
Namun ALLAH amat faham lagi Maha penyayang 
DIA tidak meminta manusia menjadi yg terbaik.
Hanya perlu untuk melakukan yg terbaik..
Meletakkan sandaran dan keyakinan,
penuh kepada-Nya. Lantas nescaya
DIA akan menguruskan yang selebihnya,
Agar yg terbaik itu, menjadi milik manusia,
Moga perjalanan kita sentiasa
di dalam lindungan dan penjagaan
Allah SWT... Aameen

Sunday, September 30, 2012

Saturday, September 15, 2012

Renungan...


Renungan...

Cinta dan Kasih Sayang Manusia
Hanyalah Setitis.. Jika Dibandingkan
Dengan Selautan Cinta Dan
kasih Sayang Allah...
Sekiranya Engkau Kehilangan Yang Setitis Itu,
Ia Tidak Akan Menjejaskan Kehidupanmu,
Selagi yang Selatuan Itu Masih Engkau Miliki

Friday, August 12, 2011

" Kita perlu hidup untuk hari ini; bukan untuk hari semalam yang telah kita tinggalkan malah bukan juga untuk hari esok yang masih berbalam Namun semalam itu sewajarnya dijadikan sebagai panduan; bukan kenangan membunuh kesatriaan dalam diri. Sebaliknya sebagai penyemarak semangat untuk terus melangkah pada hari ini bagi mencipta sesuatu yang lebih baik pada esok hari...." (suzana ghazali)

Thursday, July 28, 2011



♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥

Bila anda dikeji bererti anda diperhatikan manusia. Tak perlu gentar jika anda benar dan yakin DIA tahu kebenaran tersebut. Kejian itu hanya ujian dan ingatlah, bila anda diuji bermaksud anda dalam pemerhatian-Nya dan usahakanlah utk terus redha dan lakukan yg lebih baik kerana anda tak mungkin dpt penuhi kehendak semua manusia; memadailah anda memenuhi kehendak-Nya. 
(Suzana Ghazali) 

♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥

KATA-KATA HIKMAH


Setiap hamba punya impian & hasrat. Ada tikanya impian belum dicapai, hasrat belum kesampaian dek halangan sesama hamba. Bersabar & teruskan usaha serta berdoa memohon yg terbaik drpd-Nya. Jika impian kekal impian, hasrat masih belum kesampaian sedang hati terlalu resah, sabar mula goyah & sifat2 mazmumah mula bertandang-percayalah sudah tiba masa untuk redha dan pasrah; hasrat dan impian itu bukan yang terbaik untuk si hamba - Suzana Ghazali 

KATA-KATA HIKMAH

Kita tak mungkin dapat mengubah sikap malah hati orang lain. Tapi kita boleh berusaha agar hatinya malah sikapnya berubah menjadi lebih baik. Usaha bermaksud laksanakan tindakan yg perlu beserta doa mohon yg terbaik drp-Nya. Jika DIA izinkan, insyaAllah usaha dan doa kita berhasil. Ingat! Hati kita, hati orang lain juga... hanya dipegang oleh Allah SWT. Hanya Allah mampu berikan keputusannya.(via Suzana Ghazali)