Wednesday, October 28, 2015

SOLAT DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

“Untuk mengubah dunia kita mesti mengubah manusia. Untuk mengubah manusia kita mengubah hati dan untuk mengubah hati, kita perlu memperbaiki solat”

Natijah kesempurnaan solat itu akan terpancar kepada keperibadian seseorang individu. Sama ada baik atau buruk akhlaknya, taat atau ingkar tingkah lakunya secara sedar atau tidak adalah cerminan dari kesempurnaan solat yang telah dilakukan. Sebab itu Allah SWT sendiri telah meletakkan neraca ukuran kepada keperibadian manusia melalui solat sebagaimana firman Allah SWT; Maksudnya: “Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. - Surah al-Ankabut: 45

Muhasabah solat
Ramai dikalangan umat Islam memandang ringan tentang kewajipan solat. Mungkin ADA PULA YANG BERSOLAT TETAPI HANYA SEKADAR ADAT. Iaitu sekadar memenuhi syarat atau sebagai ikutan adat kebiasaan yang telah diwariskan oleh generasi sebelumnya turun temurun yang dilakukan secara berulang-ulang. Tanpa penghayatan, tidak menampakkan kesungguhan, keikhlasan apatah lagi untuk  menghasilkan mutu solat yang terbaik. Maka tidak hairanlah sekiranya pelanggaran hukum syara’ secara terang-terangan dilakukan oleh umat Islam itu sendiri adalah terhasil dari kejahilan dalam melaksanakan tuntutan yang satu ini.

Apakah tujuan kita solat. Adakah kerana mahu diperlihatkan kepada orang lain, atau sekadar meneruskan kebiasaan amalan yang diperturunkan atau hanya memenuhi permintaan ibu dan ayah. Atau hanya ingin memperkatakannya di facebook dan twiter.Adakah kita bersolat hanya kerana tidak mahu disisihkan masyarakat atau tidak mahu dilihat ganjil oleh teman-teman atau untuk menarik orang lain memuji dan mengagumi kita. Apa gunanya solat kita jika diniatkan kepada selain dari Allah. Kita hanya menipu diri sendiri. Ibadah kita tiada nilai disisi Allah.Malah tidak mampu memberi kesan kepada jiwa.

Tanyakan pada diri apakah perasaan kita jika ditakdirkan dapat bertemu dengan penyanyi atau artis kesukaan kita? Adakah perasaan kita itu sama dengan perasaan apabila bertemu dengan Pencipta kita. Adakah perasaan kita seseronok bertemu dengan penyanyi pujaan hati?

Solat adalah masa untuk kita berinteraksi dengan Tuhan. Tapi jika solat hanya ditunaikan sekadar adat. Tidak akan terasa kemanisannya. Adakala, solat dipercepatkan kerana  rancangan kegemaran di TV menanti. Padahal keseronokan menonton TV itu tidak akan kekal. Hanya sekadar memuaskan nafsu semata. Teringat kata-kata ini: “Kita suka sangat tengok TV. Suka tengok cerita orang. Cerita kita nanti bagaimana?”

KELEBIHAN SOLAT
Sesungguhnya BERJAYALAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN, Iaitu MEREKA YANG KHUSYUK DALAM SOLATNYA; (Al-Mu'minuun 23: Ayat 1-2)

DAN DIRIKANLAH SOLAT (DENGAN TEKUN); SESUNGGUHNYA SOLAT  ITU MENCEGAH DARI PERBUATAN YANG KEJI DAN MUNGKAR;  (Al-'Ankabuut 29:45)

Kita jadikan ayat di atas sebagai asas kepada apa yang hendak kita lakukan selepas kita mematuhi perintah melakukan solat. Bagaimana solat itu dapat mencegah dari perbuatan mungkar? Bolehkah kita lihat bukti-bukti tentangnya? Ya, JIKA KITA MENGAMBIL HUKUM-HAKAM DALAM SOLAT ITU, SAMA ADA YANG WAJIB MAHUPUN YANG SUNAT, KITA JADIKAN IKTIBAR DAN PANDUAN DALAM MENJALANI PENGHIDUPAN DI DUNIA INI, MAKA TIDAK SUKAR UNTUK MENCARI BUKTI KEBENARAN FIRMAN ALLAH YANG TERSEBUT.

Kita ambil satu contoh. Dalam solat berjemaah, makmum dilarang membaca kuat, kerana boleh mengganggu khusyuk makmum bersebelahan. Iktibar atau ibrah dari hukum ini ialah jangan membuat gangguan kepada orang lain. Jangan mengganggu jiran dengan membuat bising. Kita tidak sepatutnya membuat bising di khalayak ramai dengan apa cara sekalipun. Maka JIKA SETIAP ORANG MENJADIKANNYA SEBAGAI TATACARA HIDUP, AKAN TERBINA SEBUAH MASYARAKAT YANG AMAN TENTERAM. Barulah dikatakan hidup kita telah memberi manfaat kepada orang lain, barulah dikatakan solat itu mencegah kita dari perbuatan mungkar. Semoga mendapat rahmat dari solat kita.

Banyak juga fenomena dalam masyarakat kita yang kita lihat baik tetapi kita sandarkan itu kepada disiplin yang lahir dari buku selain al-Quran dan hadis. Kita lihat itu adalah etika hidup ciptaan orang putih dan sebagainya.Contohnya, orang ramai yang beratur mengambil giliran untuk membayar di kaunter-kaunter jualan, ramai yang melihatnya sebagai etika orang putih, orang barat. Kita dilihat sebagai meniru-niru budaya mereka kerana itu budaya yang baik.  Tetapi mengambil pengajaran dari mereka itu tidak mendapat apa-apa, tidak ada pahala. Harus sahaja. Paling tidak wajar ialah jika kita banyak menyandarkan segala yang baik itu kepada etika yang kita lihat dari barat. Sebenarnya etika tersebut ada dalam bab solat kita.

Ada hukum dalam solat yang boleh menjadi sandaran kepada sikap beratur sebegitu. Contohnya, dalam bab solat, ada menyebut aturan bagaimana cara kita membina saf. Misalnya disebut, orang yang pertama masuk saf hendaklah berdiri di belakang imam, ke sisi kanan sedikit. Orang kedua masuk ke sebelah kiri orang pertama tadi. Orang ketiga pula masuk ke sebelah kanan orang pertama tadi, dan seterusnya, sehingga membentuk saf. Setiap orang yang ingin bermakmum, sunat mengikuti prosedur ini. Apakah wajar orang kedua tadi menolak orang pertama ke sisi kiri, dan dia mengambil tempatnya? Orang ini bertindak begitu kerana ingin mendapat pahala lebih. Pahala dalam saf. Disebutkan di sini, pahala yang paling besar bagi makmum ialah di tempat orang yang pertama tadi, kemudian orang yang kedua, dan yang ketiga. Tindakan orang kedua menolak orang pertama ke kiri tadi bertujuan untuk mendapat kelebihan ini. Tetapi adakah wajar? Maka amatlah baiknya jika panduan membuat giliran dalam solat ini kita terapkan dalam segala urusan yang berkaitan dalam kehidupan seharian kita.Jika ini kita jadikan panduan membuat giliran dalam segala urusan, maka roh solat telah diterjemahkan dalam menjalani kehidupan seharian.

Kesimpulannya segala hukum-hakam dalam solat wajar dijadikan ikhtibar dan panduan atau sebagai etika hidup.Sekiranya kita terapkan roh solat itu dalam kehidupan seharian, ianya akan memberikan impak yang posiitf terhadap sikap kita serta mampu membentuk tingkah laku yang baik. Dengan ini maka terbuktilah bahawa solat itu mencegah kita dari perbuatan mungkar. Banyak lagi hukum-hakam dalam solat yang dapat diterjemahkan  ke dalam kehidupan kita dan mampu memberikan  impak positif ke atas diri kita.

IBRAH DARI SOLAT

Antara lainnya :-

Disiplin :
Disiplin ertinya peraturan. Orang yang solat akan sentiasa mematuhi syarat, rukun dan sunat dalam solat.Dia akan mendahului dan mengutamakan yang wajib daripada yang sunat. Kesemua rukun solat dipatuhi. Yang dahulu, di dahulukan. Dengan itu hidupnya akan teratur. Solat juga mengajar kita agar sentiasa fokus dalam kehidupan.

Kepatuhan:
Solat mengajar kita tentang kepatuhan kepada Allah, kepada Rasul, kepada imam. Dalam solat jemaah, ada konsep kepatuhan yang jelas. Yakni tidak boleh terlalu tertinggal (dua rukun fi'li) daripada imam.

Kepimpinan :
Siapa yang menjadi pemimpin, perlu prihatin dengan keadaan orang yang dipimpin. Tidak boleh memberatkan solat dengan memanjangkan bacaan (jika ada orang tua, sakit dan ibu-ibu). Teguran terhadap imam mesti bersopan dan beradab dengan bahasa yang paling baik, yakni kalimah "subhanallah"(bagi makmum lelaki). Ertinya menegur mesti dengan niat kerana Allah. Imam yang ditegur pula hendaklah segera membaiki kesalahan itu. Jika tidak, makmum boleh mufarakah.

Penyucian dan kebersihan :
Untuk solat mesti membersih dari hadas kecil dan besar serta najis. Kita berwuduk dengan membasuh hujung-hujung anggota. Pakaian, tempat sujud mestilah bersih dan suci. Bila berwuduk dosa kecil diampunkan. Hati kita mesti bersih daripada selain Allah. Begitu juga dalam kehidupan seharian kita. Hendaklah sentiasa menjadikan kebersihan sebagai amalan.

Penjagaan dan pengurusan masa :
Sentiasa mengawasi masuknya waktu. Walau sesibuk mana pun urusan seharian, kita tidak boleh lalai, hingga terluput waktu. Ada lima waktu solat yang dengan menjaganya akan  terjagalah masa kita daripada perbuatan yang sia-sia. Kerana itulah pengurusan masa (time management) amat penting dalam kehidupan.

Kerjasama kumpulan dan perpaduan :
Gerak serentak semasa menjadi makmum. Saf yang lurus, rapat antara bahu dan tumit adalah lambang perpaduan.

Mengawal Diri:
Orang yang solat sentiasa mengawal hati, pemikiran, perasaan dan anggotanya agar tidak membuat kerja selain yang menjadi rukun qauli, qalbi dan fi'li. Jika ada membuat gerakan besar tiga kali berturut, maka solatnya boleh terbatal. Jika fikiran dan hatinya melayang maka ingatan, hubungan dan munajatnya dengan Allah akan terganggu. Jadi ia akan terus berusaha untuk mengawal diri dalam solat dan di luar solatnya.

Amanah:
Seseorang itu tidak akan solat isya 3 rakaat jika solat bersendirian.Kerana dia tahu Allah ada memerhati. Inilah sikap amanah yang di tuntut dalam solat.maka dalam pekerjaan juga kita tidak boleh mencuri tulang dengan memendekkan waktu bekerja walaupun ketika bos tiada.

Tidak menangguh atau menunda pekerjaan:
Solat pada awal waktu adalah lebih afdal sekiranya tiada maslahat-maslahat lain yang ingin dicapai seperti ingin meramaikan jemaah bagi solat subuh, memperbanyakkan solat sunat sebelum solat Asar, membolehkan qiamullail sebaik selepas solat isyak dan menunggu sejuk bahang matahari sebelum solat zuhur. Tambahan pula, dibimbangi tidak sempat menunaikan solat jika kematian menjelma secara tiba-tiba disebabkan melewatkannya. Begitu juga dalam kehidupan. Sebagai contoh, bila kita membuat pinjaman bank. Jangan menangguh pembayaran kerana lambat laun kita tetap perlu membuat pembayaran. Jika lewat, kita akan didenda dan hanya akan merugikan diri kita.

Mengucap perkataan yang baik:
Dalam solat kita sentiasa menyebut kalimah yang baik. Tiada satu pun bacaan yang tidak baik dalam solat. Maka di luar solat juga kita perlu sentiasa mengucapkan perkataan yang baik.

Tawaduk:
Ketika sujud, kita meletakkan diri pada tempat yang paling rendah. Solat mengajar kita sifat tawaduk  (merendahkan diri, tidak angkuh atau sombong). 

Jadi bayangkanlah apa akan terjadi jika kita tidak beretika seperti di atas? Sesuatu yang buruk boleh tercetus, dan ini disebut sebagai kemungkaran. Apakah erti kemungkaran? Secara umum, boleh dikatakan bahawa setiap perbuatan atau tingkah laku yang tidak disenangi oleh orang lain, adalah kemungkaran.


Jadi cara kita menjalani hidup harus disandarkan kepada satu pakej etika yang mampu mengelakkan berlakunya kemungkaran. Islam sebagai ad-Deen, kita beriman kepadanya, maka jadikanlah solat sebagai sumbernya. Jika ini dapat diamalkan secara konsisten, maka rahmat Allah akan datang. Jika keseluruhan cara hidup kita, kita sandarkan kepada hukum-hakam dalam solat umpamanya, maka kita akan menjadi muslim yang diredai.